Wednesday 27 April 2022

Kedudukan ASWJ Asha‘irah di Malaysia dan Selangor

 


Sejarah membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia malah di seluruh rantau Nusantara telah berabad lamanya menerima dan mengamalkan Islam berasaskan pendekatan ASWJ. Keadaan tersebut telah menjadikan rantau ini paling seragam dan kukuh dalam pegangan akidah, amalan syariah dan sistem nilai akhlak berbanding dengan masyarakat Islam di rantau lain. Hakikat tersebut secara tidak langsung turut menyumbangkan kestabilan susunan politik, sosial masyarakat, perpaduan umat Islam dan ajaran agama Islam. Pendekatan ASWJ yang telah sebati dipelajari dan dihayati oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam aspek akidah dan kepercayaan ialah aliran Asha‘irah dan dalam masa yang sama turut menerima aliran Maturidiyyah.

Manakala mazhab Shafi’i pula mendapat tempat sebagai mazhab fiqh yang paling diterima oleh majoriti umat Islam di Malaysia berbanding tiga mazhab muktabar lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali. Setelah Persekutuan  Tanah  Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia berjalan di atas Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi bagi negara Malaysia. Melalui Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam diiktiraf sebagai agama bagi Persekutuan. Oleh itu, agama Islam di Malaysia mempunyai kedudukan yang istimewa, di samping penganut agama lain diberikan kebebasan mengamalkan agama masing-masing. Yang Dipertuan Agong serta Sultan atau Raja bertanggungjawab dalam segala hal ehwal berkaitan dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan pentafsiran tentang Islam dalam Perkara 3(1) tersebut.


Maka pentafsiran Islam itu dapat ditentukan dengan meneliti peruntukan Enakmen Syariah di negeri-negeri atau melihat keputusan mahkamah di Malaysia terhadap sesuatu kes berkaitan dengan agama Islam. Menurut Mohammed Imam, definisi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di Malaysia ialah ASWJ. Ini bererti Islam yang dimaksudkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah Islam berasaskan mazhab ASWJ sahaja. Kenyataan ini berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam beberapa negeri di Malaysia yang memasukkan ASWJ sebagai mazhab rasmi negeri. Antara negeri tersebut ialah Kedah, Kelantan, Johor dan Perlis. Negeri- negeri ini telah mengistiharkan agama Islam bermazhab ASWJ sebagai agama negeri, malah sultan juga mesti bermazhab yang sama (ASWJ)


Dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan contohnya, menyatakan bahawa: Ahlu’s Sunnah wal Jamaah maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Asha’ri dan Abu Mansoor Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya. Manakala bagi Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Melaka dan Terengganu hanya menyatakan agama Islam adalah agama negeri tanpa menyebut mazhab ASWJ. Walaupun begitu, fatwa dan amalan yang digunapakai di negeri-negeri tersebut adalah terikat dengan ASWJ. Negeri Perak pula meletakkan Islam bermazhab Shafi’i sebagai mazhab negeri (Seksyen 39). Mazhab Shafi’i juga adalah salah satu mazhab dalam ASWJ. Terkini, negeri Johor turut menambah baik Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan Islam yang menjadi pegangan atau mazhab rasmi di negeri Johor adalah berasaskan ASWJ al- Ash‘ari  (Asha‘irah)  dan  al-Māturidī  (Maturidiyyah)  dari  aspek akidah, mazhab al-Shāfi‘ī dari aspek fiqh dan al-Junayd serta al- Ghazālī dari aspek tasawuf. Malah terdapat usaha berterusan dari negeri-negeri lain untuk memasukkan perkataan ASWJ sama ada secara umum atau khusus berdasarkan mazhab Asha‘irah dan Shafi‘i sebagaimana negeri Johor. 

Selain itu, pengiktirafan terhadap ASWJ khususnya aliran Asha‘irah di Malaysia sebagai satu pegangan rasmi umat Islam telah ditegaskan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pengiktirafan terhadap ASWJ merupakan satu langkah terbaik demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Malaysia daripada  ancaman  akidah. Oleh  itu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan  Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, ketika membincangkan tentang Shi’ah di Malaysia, telah membuat beberapa ketetapan berkaitan ASWJ sebagai mazhab yang diiktiraf sebagaimana berikut:

1. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.
2. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri bagi peruntukan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri- negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.
3. Memperuntukkan pindaan kepada semua Undang-undang dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atas undang-undang Islam seperti berikut: Hukum Syarak atau Undang-undang Islam bererti undang-undang Islam yang berasaskan kepada pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.
4. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang selain daripada ASWJ  adalah  bercanggah  dengan  hukum syarak dan  undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran  yang lain daripada pegangan ASWJ adalah dilarang.
5. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam hukum syarak yang berasaskan pegangan ajaran ASWJ sahaja.
6. Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan ASWJ adalah diharamkan.


Dalam konteks Selangor secara khusus, akidah ASWJ dari aliran Asha‘irah telah menjadi pegangan Sultan dan umat Islam di negeri Selangor sejak berabad lamanya. Selain bukti sejarah, antara bukti lain ialah sebuah kitab karangan DYMM Sultan Selangor ke-5 iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1898-1938M) yang bertajuk Pohon Agama Bahagian Rukun Iman. Secara ringkas, kandungan kitab ini membincangkan mengenai tiga bahagian utama dalam agama Islam iaitu iman, Islam dan ihsan. Kitab ini juga menjelaskan enam Rukun Iman meliputi percaya kepada Allah SWT, malaikat, kitab, rasul, hari kiamat serta qada dan qadar. Dalam perbahasan ketuhanan, baginda menggunakan metode Sifat 20 bagi menjelaskan sifat-sifat wajib bagi Allah  SWT. Malah istilah-istilah yang digunakan menunjukkan bahawa baginda seorang yang mahir dalam ilmu akidah. Buku Pohon Agama Bahagian Rukun Iman ini telah diterbitkan semula dengan huraian dalam tulisan Rumi oleh Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin. Namun apa yang  penting  di sini ialah kandungan kitab tersebut secara jelas membuktikan bahawa pegangan akidah DYMM Sultan Selangor serta seluruh umat Islam di negeri Selangor adalah berasaskan ASWJ aliran Asha‘irah. Dalam konteks semasa pula, walaupun Undang- Undang  Tubuh  Kerajaan  Selangor  1959  sekadar     menyatakan bahawa agama negeri adalah agama Islam, tanpa menyebut  istilah ASWJ dan Asha‘irah, namun dari aspek pelaksanaan dalam pentadbiran hal ehwal Islam semuanya berteraskan ASWJ.

Dalam hal ini, setiap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor semuanya bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan ASWJ di Selangor dengan menolak fahaman menyeleweng. Fatwa terhadap fahaman Syiah contohnya, telah difatwakan dan diwartakan beberapa kali di negeri Selangor, antaranya pada tahun 1998 dan 2013. Begitu juga fatwa bagi menangani persoalan bidaah dalam masalah ikhtilaf/  khilaf perkara furu‘  yang diwartakan  pada tahun  2014. Malah   dalam beberapa khutbah Jumaat turut ditegaskan bahawa umat Islam di negeri Selangor mesti berpegang teguh dengan akidah ASWJ. Bukan itu sahaja, dari aspek lain tauliah dan pendidikan juga memperlihatkan ASWJ menjadi teras utama di Selangor. Malah pada 11 Mac 2016, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam surat baginda kepada Menteri Besar Selangor, menitahkan agar Kerajaan Negeri Selangor mengekang penyebaran fahaman Syiah dan Wahabi oleh institusi pengajian tinggi. Menurut baginda, umat Islam di negeri Selangor mengamalkan ajaran ASWJ, maka sebarang usaha untuk menyebarkan fahaman selain ASWJ di Selangor  mestilah disekat. Ini bermaksud, mengeluarkan Asha‘irah daripada ASWJ secara tidak langsung bertujuan untuk menentang serta menghina kedaulatan DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor yang berpegang teguh dengan akidah ASWJ aliran Asha‘irah.

Sekian..

Sumber:
JURNAL AL-UMMAH 1 ((2019M/1441H)




No comments:

Post a Comment