Monday 25 April 2022

Asha‘irah sebagai Ahlussunnah Waljamaah (ASWJ)


Berdasarkan sorotan daripada perbincangan para ulama, definisi ASWJ dapat dikategorikan kepada dua bentuk iaitu definisi umum dan definisi khusus. Pengertian umum ASWJ adalah kumpulan majoriti umat Islam yang mengikuti jejak langkah yang dilalui Rasulullah SAW, serta para sahabat, dalam memahami dan mempraktikkan Islam merangkumi aspek akidah, fiqh dan akhlak. Justeru, sebarang aliran dan individu yang terkeluar daripada kumpulan majoriti umat Islam dan tidak mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW sebagai panduan dan ikutan melalui petunjuk al-Qur’an dan Sunnah, adalah terkeluar daripada definisi umum ini, walaupun mereka mendakwa sebagai golongan  ASWJ. Bahkan perencaman daripada aspek sejarah berhubung kemunculan aliran bidaah turut membuktikan bahawa mereka bukan daripada kalangan ASWJ.


Kemunculan ASWJ jauh berbeza dengan situasi kemunculan beberapa aliran bidaah, seperti Syiah dan Khawarij. Ini kerana kemunculan kedua-dua golongan ini adalah bermotifkan politik kepimpinan umat Islam yang berlaku pada zaman Khulafa’ al- Rasyidin, khususnya ketika pemerintahan Uthman RA dan ‘Ali RA. Sehubungan itu, golongan Syiah dan Khawarij lebih dirujuk sebagai dua buah parti politik agama terawal lahir dalam sejarah umat Islam sebelum kedua-dua aliran ini berkembang menjadi sebahagian daripada aliran pemikiran akidah. Keadaan ini jauh berbeza  daripada  sejarah  ASWJ yang  merupakan manifestasi daripada agama Islam. Penjenamaan ASWJ digunakan bagi tujuan membezakannya dengan aliran bida’ah yang lain tetapi turut mendakwa bahawa mereka juga menjunjung ajaran Islam sebenar. Dalam usaha menegaskan kedudukan dan jenama ASWJ ini, aspek utama yang wajar dirincikan adalah berkaitan istilah al- Jama‘ah atau aliran yang terdapat dalam kalimah ASWJ bagi menentukan aliran manakah yang termasuk dalam ASWJ. Perkara ini perlu direncami untuk membezakan antara kelompok ASWJ dengan aliran bidaah. Sehubungan itu, pengertian khusus diketengahkan  bagi  merincikan  maksud  ASWJ  dan sekaligus melengkapkan definisi umum.


Tidak dinafikan, terdapat beberapa riwayat yang menjelaskan maksud al-Jama‘ah tersebut, antaranya sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya telah berpecah Ahli Kitab sebelum kamu kepada 72 golongan. Umat ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan dimasukkan ke neraka dan satu golongan sahaja dimasukkan ke syurga iaitu al-Jama‘ah".


Merujuk kepada hadith tersebut, al-Baghdādī menegaskan bahawa golongan ke-73 itu adalah ASWJ yang terdiri daripada Ahl al-Ra’yi, Ahl al-ḥadīth yang bukan mempermainkan hadith, ulama fiqh, penghafal al-Qur’an, periwayat Hadith dan Ahl al-Kalām25 daripada kalangan Ahl al-Ḥadīth. Termasuk juga di dalam golongan ini ialah pengikut-pengikut Abū Ḥanīfah, Mālik, al- Shāfī‘ī, al-Awzā‘ī, al-Thawrī dan Ahl al-Zahir.26 Al-Baghdādī selanjutnya,  menjelaskan  mengenai  golongan  al-Jama‘ah    yang termasuk dalam ASWJ kepada lapan golongan sebagaimana berikut:

1.Golongan yang memiliki ilmu dalam perkara berkaitan dengan ketauhidan Allah SWT, kenabian, hukum-hakam, janji  baik dan janji buruk, dosa dan pahala, syarat-syarat ijtihad, keimaman, kepimpinan dan mereka ini mengikuti jalan golongan Sifātiyyah dalam kalangan Mutakallimīn yang bersih daripada fahaman tashbih dan ta’til serta bersih dari bida‘ah golongan Rafidah, Khawarij, Jahmiyyah, Najjariyyah dan semua ahli hawa nafsu dan sesat.

2. Golongan imam-imam fiqh sama ada daripada kalangan Ahl al-Ra’yī dan Ahl al-Ḥadīth yang mempunyai akidah Uṣūl al-Dīn seperti mazhab Sifātiyyah mengenai Allah SWT dan sifat-sifat azali-Nya. Mereka bersih daripada fahaman Qadariyyah dan Mu’tazilah dan menetapkan bahawa Allah SWT boleh dilihat di akhirat kelak dengan mata dan bukan secara tashbih dan ta’til. Golongan ini memperakui kewujudan perhimpunan Mahsyar setelah manusia dibangunkan dari kubur, soalan di dalam kubur, kolam di Mahsyar, titian sirat, syafaat dan keampunan dosa selain dosa syirik. Golongan ini juga menetapkan berkekalan nikmat di syurga kepada penghuni-penghuninya dan berkekalan azab di neraka kepada golongan kafir. Golongan ini mengiktiraf khalifah Abu Bakar RA, ‘Umar RA, ‘Uthman RA dan ‘Ali RA. Golongan ini menyanjung pujian kepada Salaf al-Saleh dalam kalangan umat ini. Mereka juga berpegang bahawa wajib solat Jumaat di belakang imam-imam yang melepaskan diri daripada golongan hawa nafsu yang sesat, wajib mengeluarkan hukum-hakam fiqh daripada al-Qur’an dan ijma’ para sahabat, harus menyapu dua khuf, berlakunya talak tiga, haram perkahwinan secara mut’ah dan wajib taat pemerintah kecuali di dalam perkara kemaksiatan. Termasuk di dalam kumpulan ini ialah pengikut-pengikut Mālik, al-Shāfī‘ī, al-Awzā‘ī, al-Thawrī, Abū Ḥanīfah, Abī Laylā, Abī Thūr, Aḥmad bin Ḥanbal, Ahl al-Ẓāhir dan semua ahli fiqh yang mempunyai akidah berkaitan prinsip akal atau usul Sifatiyyah dan tidak mencampurkan hukum-hakam fikah mereka daripada bidaah ahli hawa nafsu yang sesat.

3. Golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai jalan-jalan khabar, Sunnah dan  peninggalan Nabi  SAW. Mereka mampu membezakan di antara yang sahih dan tidak benar serta mengetahui sebab-sebab al-jarḥ dan al-ta‘dīl. Mereka tidak mencampurkan ilmu itu dengan bidaah ahli hawa nafsu yang sesat.

4. Golongan yang memiliki ilmu berkaitan dengan Kesusasteraan (Adab), Nahu dan Saraf. Mereka ini adalah tokoh- tokoh bahasa Arab seperti al-Khalīl, Abī ‘Amrū bin al-‘Alā’, Sibawayh, al-Farra’, al-Akhfash, al-Asmā’i, al-Mazini, Abī ‘Ubayd dan seluruh imam-imam Nahu sama ada dari aliran Kufah atau Basrah yang tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah Qadariyyah, Rafidah atau Khawarij. Sesiapa yang cenderung ke arah hawa nafsu yang menyesatkan, maka mereka bukan dari golongan ASWJ dan kata-kata mereka di dalam bahasa Arab dan Nahu tidak boleh dijadikan hujah.

5. Golongan yang menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan kaedah bacaan al-Qur’an dan bentuk tafsiran  serta takwilan al-Qur’an berdasarkan mazhab ASWJ tanpa berpegang dengan takwilan ahli hawa nafsu yang sesat.

6. Golongan ahli Tasawuf yang zuhud iaitu mampu melihat dengan mata hati dan menahan diri, mereka diuji lalu mereka mengambil pengajaran, mereka reda dengan takdir serta memadai dengan nikmat kehidupan yang diperolehi, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan, maka mereka menghitungnya walaupun sebesar zarah. Mereka menyediakan diri dengan sebaik-baik persediaan untuk  hari kiamat. Mereka berjalan di atas jalan ibarat dan isyarat mengikut jalan ahli Hadith tanpa mereka mengikut pandangan ahli Hadith yang menyimpang. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu. Agama mereka hanyalah tauhid dan menafikan tashbīh, mazhab mereka ialah tafwīḍ kepada Allah SWT, bertawakkal kepada-Nya, pasrah  kepada urusan-Nya, memadai dengan apa yang direzekikan-Nya dan berpaling daripada membantah kepada-Nya. Firman Allah SWT: "Demikianlah kurniaan Allah yang diberikan- Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai kurniaan yang besar".

7. Golongan yang terikat dalam barisan orang Islam untuk berperang dengan orang kafir, berjihad melawan musuh Islam, melindungi maruah umat Islam, mempertahankan keluarga dan negara mereka, maka terzahirlah mereka adalah mazhab ASWJ. Mereka inilah golongan yang menepati firman Allah SWT berikut: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya akan Kami tunjukkan  kepada mereka jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama dengan orang-orang yang berbuat  baik".

8. Golongan yang tinggal di negeri yang berada di bawah taklukan ASWJ dan bukan di negeri yang terdapat ahli hawa nafsu yang sesat. Ia merujuk kepada masyarakat awam yang mempunyai iktikad menepati ulama ASWJ di dalam perkara yang berkaitan dengan keadilan dan ketauhidan serta janji baik dan janji buruk. Mereka merujuk kepada ulama ASWJ di dalam hal-hal yang menyentuh keagamaan, mengikut ulama pada masalah cabang halal dan haram serta tiada perkara bidaah daripada ahli hawa nafsu yang sesat. Mereka ini dinamakan oleh ahli tasawuf sebagai pengisi syurga (hushu al-jannah). Manakala Ibn al-Athīr berpandangan bahawa maksud al- Jama‘ah adalah kelompok manusia terbesar (majoriti) yang terdiri daripada umat Islam yang bersepakat untuk mengikut jalan lurus dan mentaati pemerintah mereka. 

Selain daripada itu, istilah al- Jama‘ah juga turut meliputi kumpulan besar umat Islam yang bersepakat untuk mengikut jalan para sabahat, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in yang diambil daripada Sunnah Rasulullah SAW. Al-Shaṭibī pula mengumpulkan pelbagai pandangan dan huraian berhubung maksud al-Jama‘ah seperti berikut: Pertama, mereka adalah majoriti umat Islam (al-Sawad al-A’zam). Kedua, mereka adalah sekumpulan ulama mujtahid. Ketiga,  mereka  adalah para sahabat. Keempat, mereka adalah jama’ah (golongan) umat Islam. Kelima, mereka adalah umat Islam yang berada di bawah pemerintah Islam. Sehubungan itu, istilah al-Jama‘ah dapat disimpulkan sebagai kumpulan terbesar umat Islam yang bersepakat mengikut jalan kebenaran daripada ajaran Rasulullah SAW merangkumi al- Qur’an dan Hadith. Pengertian al-Jama‘ah ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah SAW:

إِ َّن اهللَ َال َْجيم  ع أ َّميت على   َضَاللة، َويَ د اهللِ َم َع اجلََم  َاعة، وَمن  َش َّذ  َش َّذ إىل النَّا ِر.

Terjemahan:        Sesungguhnya        Allah        tidak       akan  mempersepakatkan umatku di atas kesesatan. Yad (tangan) Allah bersama al-Jama‘ah dan sesiapa yang menyendiri, dia akan menyendiri di dalam neraka.

Di samping itu, berdasarkan kajian The Royal Islamic Strategic Studies Centre, Asha‘irah dan Maturidiyyah merupakan aliran majoriti umat Islam dengan 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia adalah pengikut aliran Ahl al-Kalam ini.35 Malah al-Qaradawi ketika mempertahankan Universiti al-Azhar yang berpegang dengan akidah Asha‘irah daripada tohmahan Salafiyyah Wahabiyyah, beliau menyatakan bahawa Asha‘irah merupakan pegangan   majoriti   umat   Islam   di   seluruh  dunia semenjak dahulu sehingga kini.

Jika kajian dan kenyataan ini dijadikan ukuran, maka benarlah kenyataan al-Zābidī yang berpendapat bahawa apabila istilah ASWJ digunakan secara mutlak, ia merujuk kepada aliran Asha‘irah dan Maturidiyyah. Malah al-Shak’ah berpendirian bahawa Asha‘irah adalah aliran yang pertama sekali yang dinamakan sebagai ASWJ dalam sejarah Islam. Manakala ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām dan al-Subkī pula menyatakan bahawa para pengikut Mālik (mazhab Maliki), al- Shāfī‘ī (mazhab Shafie), Aḥmad ibn Ḥanbal (mazhab Hanbali) dan sebahagiannya pengikut Abū Ḥanīfah (mazhab Hanafi) adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang berpegang dengan aliran Asha‘irah.

Al-Saffarinī dan Aḥmad Maḥmūd Subḥī pula membahagikan ASWJ kepada tiga golongan iaitu Athariyyah yang diketuai oleh Aḥmad bin Ḥanbal, Asha‘irah yang diketuai oleh al- Ash‘ari dan Maturidiyyah diketuai oleh al-Māturidī. Al-Zābidī pula membahagikan ASWJ kepada tiga golongan iaitu Ahl al- Ḥadīth, Ahl al-Naẓar al-‘Aqlī (Asha‘irah dan Maturidiyyah) dan Ahl al-Wujdan wa al-Kashf. Tuntasnya, perbincangan di atas membuktikan bahawa Asha‘irah adalah golongan majoriti bagi ASWJ. Dalam erti kata lain, definisi khusus bagi ASWJ adalah merujuk kepada golongan yang berpegang dengan aliran  Asha‘irah dan Maturidiyyah dalam aspek akidah. Definisi ini  selari dengan ASWJ sebagai sebuah istilah teknikal yang digunakan dalam   Ilmu   Kalam   yang   dikaitkan   dengan aliran Asha‘irah dan Maturidiyyah secara khusus.

Kerana itu, istilah ASWJ dan Asha‘irah sering digunakan secara bertukar-ganti dengan maksud atau tujuan yang sama. Malah penggunaan nama ASWJ juga lebih sinonim digunakan dalam aspek akidah, walaupun istilah ini telah diluaskan penggunaannya dalam aspek fiqh dan tasawuf. Oleh itu, perbuatan mengeluarkan Asha‘irah daripada mazhab ASWJ dari segi akidah adalah merupakan suatu perbuatan yang melampau dan tidak bersandarkan hujah yang kukuh. Selain daripada aliran ASWJ sebagai golongan ke-73, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Baghdadi, 72 golongan lagi adalah ahli bidaah yang tidak termasuk dalam ASWJ. Secara umumnya 72 golongan dimaksudkan oleh Ba’lawi ialah; Mu’tazilah berpecah menjadi 20 kumpulan, Shi’ah berpecah menjadi 22 kumpulan, Khawarij berpecah menjadi 20 kumpulan, Murji’ah berpecah menjadi lima kumpulan, Najjariyyah berpecah menjadi tiga kumpulan, Jabariyyah hanya satu kumpulan dan Mushabbihah atau Mujassimah hanya satu kumpulan. Perbincangan mengenai pecahan aliran ini terdedah  kepada wacana yang lebih luas kerana pastinya sentiasa wujud aliran baru yang menyeleweng daripada landasan ASWJ.

No comments:

Post a Comment