Showing posts with label manhaj akidah. Show all posts
Showing posts with label manhaj akidah. Show all posts

Sunday, 6 March 2022

Salaf (Suatu Pengenalan)

Siapa Mereka Salaf


Mengklasifikasi para ulama sama ada mereka tergolong dalam kalangan generasi Salaf atau Khalaf adalah sesuatu yang penting di zaman sekarang. Dari sudut bahasa, makna Salaf dari sudut bahasa,  ialah individu atau generasi terdahulu apabila dibandingkan dengan generasi lain yang datang kemudian daripadanya (Ibn Manzur, 2003). Namun, makna istilahnya lebih merujuk kepada generasi ulama yang hidup dalam suatu tempoh tertentu sahaja, iaitu dalam lingkungan tiga kurun pertama Hijrah (Al-Buti, 2007). Defnisi ini merupakan satu defnisi masyhur diterima pakai oleh ramai sarjana dahulu dan sekarang. Walau bagaimanapun, kebanyakan sorotan kajian membuktikan justifikasi pengertian Salaf sebagaimana keterangan di atas, berasaskan satu sumber hadis sepertimana sabda Rasulullah (s.a.w):


  Maksudnya: “Sebaik-baik kurun (generasi) adalah kurunku, kemudian orang-orang yang datang selepas mereka, dan seterusnya disusuli pula oleh satu kumpulan manusia lain selepas mereka. Sesudah itu, akan datang suatu generasi yang sifatnya; penyaksian seseorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya” (Al-Bukhari (3651), 2005) 


Sebagaimana maklum, satu kurun bersamaan dengan 100 tahun, namun kajian mendapati kurun pertama yang dinyatakan dalam hadis di atas berakhir pada tahun 110 Hijrah kerana berpandukan tarikh hadis tersebut dilaporkan, iaitu pada tahun 10 Hijrah. Oleh itu, difahami bahawa tempoh tiga kurun pertama Hijrah berakhir pada tahun 310 Hijrah. Berasaskan definisi dinyatakan, generasi yang berada dalam lingkungan 310 tahun pertama Hijrah, mereka telah dianggap sebagai Salaf (Al-Isa, t.th). Secara tidak langsung, generasi yang hidup selepas tahun 310 Hijrah pula dikenali sebagai Khalaf. Oleh itu, nama-nama tokoh ulama Islam seperti Imam Abu Hanifah (m. 150H), Imam Malik (m. 179H), Imam Al-Thawri (m. 187H), Imam Al-Shafie (m. 204H), Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H), Imam Al-Bukhari (m. 256H), Imam Al-Tabari (m. 310H) dan selain mereka yang wafat dalam lingkungan 310 Hijrah adalah dianggap sebagai Salaf walaupun mereka bukan terdiri dari kalangan sahabat Rasulullah (s.a.w) dan tabiin. 


Perlu ditegaskan bahawa pengertian Salaf sebagaimana dibincangkan bukan merupakan suatu pandangan yang disepakati (ijma) oleh seluruh ulama Islam. Sesetengah ulama lain telah mendefinisikan Salaf sebagai generasi yang hidup sebelum tahun 500 Hijrah, manakala Khalaf pula adalah generasi yang datang selepasnya (Al-Bayjuri, 2001). Meneliti kedua-dua pengertian Salaf dari aspek sumber, penulis mendapati pandangan yang menerima pakai definisi pertama adalah berasaskan bahawa tiga kurun pertama Hijrah dimaksudkan tersebut merupakan suatu tempoh masa yang ramai dalamnya sebaik-baik golongan manusia yang boleh dijadikan ikutan, sebagaimana dibayangkan maknanya oleh hadis (Al-Bukhari (3651), 2005) yang menjadi sandaran mereka, walaupun perkataan Salaf tidak dinyatakan di dalamnya. Maka itu, definisi pertama telah dianggap mengandungi suatu makna yang konkrit untuk diterima pakai bagi menggambarkan ia adalah suatu generasi ikutan umat Islam sepanjang zaman yang diakui sendiri oleh Rasulullah (s.a.w). 


Walaupun begitu, definisi kedua yang menyifatkan generasi yang hidup dalam lingkungan 500 tahun Hijrah pertama sebagai Salaf, bukan dianggap sebagai suatu pandangan lemah yang perlu diketepikan kerana ia tidak bersumberkan mana-mana nas berautoriti. Malahan menurut penelitian penulis, definisi kedua mengambil kira bahawa makna utama terkandung dalam sabda Rasulullah (s.a.w) tersebut ialah wujudnya ramai individu baik yang boleh dijadikan ikutan umat Islam selepas mereka (Al-Bayjuri, 2001). Maka ramai tokoh ulama Islam lain yang dijadikan ikutan muncul selepas kurun ketiga Hijrah seperti Imam Al-Asy'ari (m. 320 H), Imam Al-Tahawi (m. 321H), Imam Al-Maturidi (m. 333H), Imam Ibn Hibban (m. 354 H), Imam Al-Baqillani (m. 403H), Imam Al-Baghdadi (m. 429H), Imam Al-Bayhaqi (m. 458 H), Imam Al-Qusyairi (m. 465H), Imam Al-Isfarayini (m. 471H), Imam Al-Juwayni (m. 478H), Imam Al-Ghazali (m. 505H) dan selain mereka. 


Kewujudan ramai tokoh ulama ikutan umat Islam dalam kurun keempat dan kelima Hijrah merupakan suatu perkara signifikan untuk dilabelkan sebagai tempoh masa hidup generasi Salaf. Jika diteliti dari aspek masa, generasi Salaf yang dikaitkan dengan tiga atau lima kurun pertama Hijrah turut dikenali dengan istilah Salaf zamani yang merujuk tempoh masa tertentu sahaja. Manakala sesuatu generasi yang datang selepas Salaf, apabila mereka mempunyai kefahaman, penghayatan dan metodologi pemikiran sama dengan generasi Salaf, maka mereka pula digelar sebagai Salaf manhaji (Abdul Shukor, 1993). Pada hemat penulis, pembahagian Salaf kepada dua istilah lain, iaitu zamani dan manhaji hanya sekadar menunjukkan sokongan generasi Khalaf terhadap metodologi pemikiran golongan para ulama Salaf. Hal ini tidak bererti ulama generasi Khalaf menafikan kebenaran metode yang difahami dan diterima pakai oleh mereka sendiri. Walau bagaimanapun, apa yang lebih utama dalam mendefinisikan istilah Salaf ialah penentuan tempoh kewujudan generasi ulama Salaf dalam tarikh sejarah umat Islam adalah sama ada tiga kurun Hijrah pertama atau merangkumi lima kurun Hijrah pertama.


Sumber:

gjat.my

Friday, 22 January 2021

Perbezaan Manhaj Ahlu al-Sunnah Waljamaah dan Ahlul al-Hadits - Salafi (Siri 3)

 

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتٰبِ وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ ۖ فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن لِّيَبلُوَكُم في ما ءآتٰكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

"Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu"

                                                                                                                    (Surah Al-Maidah: 48)

Pada penulisan kali ini, penulis akan lebih berhati-hati dan tidak akan menggunakan istilah atau gelaran yang berkonotasi negatif terhadap sesuatu manhaj, namun memilih untuk menggelar golongan yang dikenali sebagai wahhabi sebagai ahlul hadits ataupun salafi sebagai konotasi penghormatan kepada mereka yang memilih untuk berpegangan kepada manhaj tersebut.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Maidah ayat 48, "Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu". Kita sebagai umat Islam telah diberikan aturan dan jalan yang terang yakni petunjuk Al-Quran sebagai penyuluh dan hujah bagi kita untuk menyikapi sesuatu isu yang timbul. Walaupun berbeza pandangan dan manhaj, kita hendaklah tidak melampaui batas dalam menyoroti setiap apa sahaja pandangan dan hujah yang dianggap kukuh bagi manhaj atau ijtihad ulama-ulama kita.

Isu yang seringkali dibahaskan antara penganut Ahlu Sunnah dan Salafi biasanya berkisar mengenai perkara bida'ah, penafsiran ayat muhkamat/mutasyabihat mengenai sifat-sifat Allah S.W.T, dan amalan Tawassul. Pada hari ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan sedikit mengenai apa yang dinamakan Tawassul dan apakah tafsiran serta hujah yang digunakan ulama-ulama untuk membenarkan amalan ini ataupun menolaknya dengan alasan yang kukuh. 

Pada siri yang pertama, semasa menyoroti biografi hidup Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab beliau terkenal dengan membawa fahaman dan fatwa dari Imam Ibn Taymiyyah yang  melarang menziarahi atau memuliakan kubur para wali. Fatwa ini dipegang kukuh Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan telah dilaksanakan setelah beliau mendapat kuasa politiknya di Najd. Antara yang beliau laksanakan adalah:

1.Meratakan kubur milik Zayd ibn al-Khattab (sahabat Nabi S.A.W) yang diagungkan oleh penduduk tempatan.
2. Memotong beberapa batang Pokok yang dianggap suci oleh penduduk sekitar.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Dalam surah al-maidah ayat 35 Allah SWT berfirman" Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan bersungguh-sungguhlah mencari jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya supaya kamu mendapat keberuntungan"

Menurut tafsir Mishbah karangan Dr Quraish Shihab, ayat ini menyentuh jiwa manusia dengan mengajaknya mendekat kepada Allah. Ajakan tersebut ditujukan kepada orang-orang yang walau memiliki secebis keimanan, sebagaimana difahami dari panggilan (يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا), walau hanya sekelumit iman, bertakwalah kepada Allah hindarilah siksa-Nya baik duniawi maupun ukhrawi dan bersungguh-sungguhlah mencari jalan dan cara yang dibenarkan-Nya yang mendekatkan diri kamu kepada redha-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, yakni kerahkanlah semua kemampuan kamu lahir dan batin untuk menegakkan nilai-nilai ajaran-Nya termasuk berjihad melawan hawa nafsu kamu supaya kamu mendapat keberuntungan, yakni memperoleh apa yang kamu harapkan baik keberuntungan duniawi maupun ukhrawi.

Kata (وَسيلَةَwasilah menurut Tafsir Mishbah mirip maknanya dengan (وصيللة) washilah, yakni sesuatu yang menyambung sesuatu dengan yang lain. Wasilah adalah sesuatu yang menyambung dan mendekatkan sesuatu dengan yang lain, atas dasar keinginan yang kuat untuk mendekat. Tentu saja banyak cara yang dapat digunakan untuk mendekatkan diri kepada redha Allah, namun kesemuanya haruslah dibenarkan oleh-Nya. Ini bermula dari rasa kebutuhan kepada-Nya. Demikian Ibn Abbas menafsirkan. Memang, jika seseorang merasakan kebutuhan kepada sesuatu, dia akan menempuh segala cara untuk meraih redha-Nya serta menyenangkannya. Demikian juga dengan Allah SWT.

Dalam satu hadits Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya Allah Yang Maha mulia lagi maha Agung berfirman: 'Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang dekat kepada-Ku) maka sesungguhnya Aku telah nyatakan perang baginya. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku, dengan sesuatu yang lebih Aku senangi daripada melaksanakan apa yang Aku fardhukan atasnya. Dan tidak pula hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri dengan melakukan amalan-amalan sunnah, sehingga Aku mencintainya. Bila Aku mencintainya, menjadilah Aku telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, matanya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang dengannya ia memukul, dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia bermohon kepada-Ku maka pasti Ku-kabulkan permohonannya, apabila ia meminta perlindungan-Ku maka pasti ia Ku-lindungi'."

Ayat ini dijadikan sementara ulama sebagai dalil yang membenarkan apa yang diistilahkan dengan Tawassul-yakni mendekatkan diri kepada Allah dengan menyebut Nabi saw dan para wali (orang-orang yang dekat kepada-Nya), yakni berdoa kepada Allah guna meraih harapan demi nabi dan atau para wali yang dicintai Allah swt. Sementara orang - tulis asy-Sya'rawi (Sheikh Mutawalli as-Sya'rawi, ulama Mesir meninggal 1998M) - mengkafirkan orang-orang yang bertawassul. Tentu saja, bila ia percaya bahawa sang wali memberinya apa yang tidak diizinkan Allah atau apa yang tidak wajar diperolehnya, maka hal ini terlarang. Tetapi, jika ia bermohon kepada Allah dengan didasari kecintaannya kepada siapa yang ia yakini lebih dekat kepada Allah daripada dirinya, maka ketika itu cintanyalah yang akan berperanan bermohon, dan dalam saat yang sama ia yakin tidak akan memperoleh dari Allah sesuatu yang tidak wajar diperolehnya.

Menurut Syeikh Mutawalli asy-Sya'rawi, sebuah hadis yang juga sering kali dijadikan oleh para ulama sebagai alasan pembenaran wasilah/tawassul ialah sebuah Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud at-Tirmidzi dan an-Nasa'i bahwa 'Umar Ibn al-Khattab berkata: "Pada masa Nabi saw, jika kami kekeringan kerana hujan tak turun, kami bertawassul dengan (menyebut nama) Nabi kiranya hujan turun. Setelah nabi wafat kami bertawassul dengan menyebut nama al-'Abbas bapa saudara Nabi saw.

Imam al-Alusi termasuk ulama yang memperbolehkan tawassul. Setelah menjelaskan panjang lebar tentang wasilah dan tawassul, ulama ini berkesimpulan bahawa tidak mengapa berdoa kepada Allah dengan menyebut dan bertawassul atas nama Nabi saw, baik ketika beliau hidup maupun setelah wafat, dalam erti, yang bersangkutan berdoa kepada Allah demi kecintaan-Nya kepada Nabi Muhammad, kiranya Yang Maha Esa itu mengabulkan permohonan si pemohon.

Demikian lebih kurang pernyataan al-Alusi yang dikutip dan disetujui oleh mantan Mufti Mesir yang juga menjawat jawatan sebagai Syeikh (Pemimpin Tertinggi) al-Azhar, Muhammad Sayyid Thanthawi. Pada hemat penulis (Dr Quraish Shihab), ulama-ulama melarang bertawassul baik dengan nama Nabi saw, lebih-lebih dengan para wali (orang-orang yang dekat kepada Allah) kerana dikhuatiri hal tersebut tidak difahami oleh masyarakat awam yang sering kali atau boleh jadi menduga bahwa mereka itulah - baik yang telah wafat atau masih hidup - yang mengabulkan permohonan mereka, atau bahwa mereka mempunyai peranan yang mengurangi peranan Allah dalam pengabulan permohonan mereka, atau bahwa mereka dapat memperoleh sesuatu yang tidak wajar mereka peroleh. Keyakinan semacam ini jelas terlarang bahkan salah satu bentuk mempersekutukan Allah swt.

Wallahua'lam

Rujukan:
1.Tafsir Al-Mishbah Dr Quraish Shihab
2.https://celiktafsir.net