Sunday, 6 March 2022

Salaf (Suatu Pengenalan)

Siapa Mereka Salaf


Mengklasifikasi para ulama sama ada mereka tergolong dalam kalangan generasi Salaf atau Khalaf adalah sesuatu yang penting di zaman sekarang. Dari sudut bahasa, makna Salaf dari sudut bahasa,  ialah individu atau generasi terdahulu apabila dibandingkan dengan generasi lain yang datang kemudian daripadanya (Ibn Manzur, 2003). Namun, makna istilahnya lebih merujuk kepada generasi ulama yang hidup dalam suatu tempoh tertentu sahaja, iaitu dalam lingkungan tiga kurun pertama Hijrah (Al-Buti, 2007). Defnisi ini merupakan satu defnisi masyhur diterima pakai oleh ramai sarjana dahulu dan sekarang. Walau bagaimanapun, kebanyakan sorotan kajian membuktikan justifikasi pengertian Salaf sebagaimana keterangan di atas, berasaskan satu sumber hadis sepertimana sabda Rasulullah (s.a.w):


  Maksudnya: “Sebaik-baik kurun (generasi) adalah kurunku, kemudian orang-orang yang datang selepas mereka, dan seterusnya disusuli pula oleh satu kumpulan manusia lain selepas mereka. Sesudah itu, akan datang suatu generasi yang sifatnya; penyaksian seseorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya” (Al-Bukhari (3651), 2005) 


Sebagaimana maklum, satu kurun bersamaan dengan 100 tahun, namun kajian mendapati kurun pertama yang dinyatakan dalam hadis di atas berakhir pada tahun 110 Hijrah kerana berpandukan tarikh hadis tersebut dilaporkan, iaitu pada tahun 10 Hijrah. Oleh itu, difahami bahawa tempoh tiga kurun pertama Hijrah berakhir pada tahun 310 Hijrah. Berasaskan definisi dinyatakan, generasi yang berada dalam lingkungan 310 tahun pertama Hijrah, mereka telah dianggap sebagai Salaf (Al-Isa, t.th). Secara tidak langsung, generasi yang hidup selepas tahun 310 Hijrah pula dikenali sebagai Khalaf. Oleh itu, nama-nama tokoh ulama Islam seperti Imam Abu Hanifah (m. 150H), Imam Malik (m. 179H), Imam Al-Thawri (m. 187H), Imam Al-Shafie (m. 204H), Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H), Imam Al-Bukhari (m. 256H), Imam Al-Tabari (m. 310H) dan selain mereka yang wafat dalam lingkungan 310 Hijrah adalah dianggap sebagai Salaf walaupun mereka bukan terdiri dari kalangan sahabat Rasulullah (s.a.w) dan tabiin. 


Perlu ditegaskan bahawa pengertian Salaf sebagaimana dibincangkan bukan merupakan suatu pandangan yang disepakati (ijma) oleh seluruh ulama Islam. Sesetengah ulama lain telah mendefinisikan Salaf sebagai generasi yang hidup sebelum tahun 500 Hijrah, manakala Khalaf pula adalah generasi yang datang selepasnya (Al-Bayjuri, 2001). Meneliti kedua-dua pengertian Salaf dari aspek sumber, penulis mendapati pandangan yang menerima pakai definisi pertama adalah berasaskan bahawa tiga kurun pertama Hijrah dimaksudkan tersebut merupakan suatu tempoh masa yang ramai dalamnya sebaik-baik golongan manusia yang boleh dijadikan ikutan, sebagaimana dibayangkan maknanya oleh hadis (Al-Bukhari (3651), 2005) yang menjadi sandaran mereka, walaupun perkataan Salaf tidak dinyatakan di dalamnya. Maka itu, definisi pertama telah dianggap mengandungi suatu makna yang konkrit untuk diterima pakai bagi menggambarkan ia adalah suatu generasi ikutan umat Islam sepanjang zaman yang diakui sendiri oleh Rasulullah (s.a.w). 


Walaupun begitu, definisi kedua yang menyifatkan generasi yang hidup dalam lingkungan 500 tahun Hijrah pertama sebagai Salaf, bukan dianggap sebagai suatu pandangan lemah yang perlu diketepikan kerana ia tidak bersumberkan mana-mana nas berautoriti. Malahan menurut penelitian penulis, definisi kedua mengambil kira bahawa makna utama terkandung dalam sabda Rasulullah (s.a.w) tersebut ialah wujudnya ramai individu baik yang boleh dijadikan ikutan umat Islam selepas mereka (Al-Bayjuri, 2001). Maka ramai tokoh ulama Islam lain yang dijadikan ikutan muncul selepas kurun ketiga Hijrah seperti Imam Al-Asy'ari (m. 320 H), Imam Al-Tahawi (m. 321H), Imam Al-Maturidi (m. 333H), Imam Ibn Hibban (m. 354 H), Imam Al-Baqillani (m. 403H), Imam Al-Baghdadi (m. 429H), Imam Al-Bayhaqi (m. 458 H), Imam Al-Qusyairi (m. 465H), Imam Al-Isfarayini (m. 471H), Imam Al-Juwayni (m. 478H), Imam Al-Ghazali (m. 505H) dan selain mereka. 


Kewujudan ramai tokoh ulama ikutan umat Islam dalam kurun keempat dan kelima Hijrah merupakan suatu perkara signifikan untuk dilabelkan sebagai tempoh masa hidup generasi Salaf. Jika diteliti dari aspek masa, generasi Salaf yang dikaitkan dengan tiga atau lima kurun pertama Hijrah turut dikenali dengan istilah Salaf zamani yang merujuk tempoh masa tertentu sahaja. Manakala sesuatu generasi yang datang selepas Salaf, apabila mereka mempunyai kefahaman, penghayatan dan metodologi pemikiran sama dengan generasi Salaf, maka mereka pula digelar sebagai Salaf manhaji (Abdul Shukor, 1993). Pada hemat penulis, pembahagian Salaf kepada dua istilah lain, iaitu zamani dan manhaji hanya sekadar menunjukkan sokongan generasi Khalaf terhadap metodologi pemikiran golongan para ulama Salaf. Hal ini tidak bererti ulama generasi Khalaf menafikan kebenaran metode yang difahami dan diterima pakai oleh mereka sendiri. Walau bagaimanapun, apa yang lebih utama dalam mendefinisikan istilah Salaf ialah penentuan tempoh kewujudan generasi ulama Salaf dalam tarikh sejarah umat Islam adalah sama ada tiga kurun Hijrah pertama atau merangkumi lima kurun Hijrah pertama.


Sumber:

gjat.my

No comments:

Post a Comment