Sunday, 26 September 2021

Kaedah menangani Penyakit Jiwa/Kegelisahan menurut pandangan Islam

 


Antara teori psikologi yang terkenal di dunia Barat yang diasaskan oleh pakar psikologi, Sigmund Freud ialah yang dikenali sebagai Teori Psikoanalasis (Psychoanalysis). Teori ini menekankan bahawa kegelisahan neurotik mempunyai hubungan dengan masa lalu seseorang individu. Freud menyarankan bahawa pengalaman hidup seseorang semasa di peringkat kanak-kanak iaitu sebelum mencapai usia enam tahun adalah penting dan memberi kesan kepada dalam pembentukan personalitinya. Individu yang pernah mengalami konflik emosi dalam hidupnya semasa kecil, mempunyai lebih besar kemungkinan untuk mengalami kegelisahan neurotik apabila menghadapi tekanan ketika dewasa. Freud berpendapat bahawa selain dari adanya struktur personaliti yang dikenali sebagai id, ego dan superego dalam diri seseorang, akal fikiran manusia juga mempunyai lapisan-lapisan tersendiri yang dipanggil sebagai alam sedar, alam pra-sedar dan alam tidak sedar.

Seterusnya adalah Teori Kemanusiaan (Humanistic Theory) dan Teori Kewujudan (Existential Theory) yang dikembangkan oleh ahli-ahli falsafah Barat seperti Kierkegard, Husserl, Satre dan lain-lainnya. Kedua-dua teori tersebut pada  asasnya melihat manusia sebagai entiti yang baik, bebas, bertanggungjawab serta kreatif. Sepanjang hidupnya, manusia dilihat sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan serta cuba untuk mencapai tahap kewujudan yang tertinggi sekali.

Terdapat juga Teori Tingkahlaku (Behaviorism Theory). Teori ini tidak mengambil kira persoalan dinamik atau pun pergolakan jiwa manusia ketika membincangkan perihal tingkahlaku. Sebaliknya, pendokong teori ini seperti Peter Lwinsohn berpegang kepada tiga andaian utama tentang manusia iaitu; 

1. Tingkahlaku manusia dipelajari melalui proses perkaitan; 

2. Pada asasnya, manusia cenderung ke arah sesuatu nikmat dan menjauhi kesakitan; 

3. Pada asasnya juga, tingkahlaku manusia ditentukan oleh alam sekitarnya. 

Teori ini berpendapat bahawa masalah kegelisahan neurotik adalah masalah yang berkaitan dengan tingkahlaku manusia semata-mata. Atau dengan kata lainnya, teori tingkahlaku ini lebih mementingkan penyelidikan terhadap sains tingkahlaku (behavior sciences) yang berasaskan metodologi penyelidikan seperti observasi yang objektif dan eksperimentasi (objective observation and experimentation) sahaja.

Kesimpulannya, ketiga-tiga teori psikologi yang dikemukakan di atas menunjukkan bahawa secara umumnya terdapat dua pandangan tentang punca terjadinya kegelisahan dalam diri individu iaitu samada ia disebabkan pengalaman-pengalaman masa lampau ataupun disebabkan oleh kemungkinan-kemungkinan masa hadapan. Huraian tentang kegelisahan dalam ketiga-tiga teori ini juga dapat disimpulkan bahawa pemikiran-pemikiran dan idea-idea yang dikemukakan adalah terputus dari ikatan wahyu, malahan ianya hanya menggunakan logik akal fikiran manusia yang sentiasa berubah dari masa ke semasa kerana ianya cuma bersifat relatif dan tidak pasti.

Perawatan Penyakit Gelisah (Anxiety / al-Halu)

Dari perspektif perubatan moden yang bersandarkan kepada penyelidikan yang dibuat oleh pakar-pakar psikiatri Barat, kecelaruan yang berkait dengan gelisah ini boleh dirawati dengan penggunaan ubat-ubatan dan juga pendekatan psikologi. Secara umumnya terdapat empat jenis ubatan utama yang berasaskan dadah telah digunakan dengan meluasnya bagi merawati penyakit ini. Dadah tersebut terdiri daripada barbiturate yang kemudiannya digantikan dengan benzodiazepine, major tranquillizer, minor tranquillizer dan beta-blocker. Manakala dari pendekatan psikologi pula, pakar psikiatris banyak bergantung kepada penemuan dan saranan yang dibuat oleh Sigmund Frued. Walaubagaimana pun, selepas itu, mereka mula mengemukakan teori-teori baru dalam usaha mengatasi masalah kecelaruan gelisah ini. Antara yang terkenal ialah terapi tingkahlaku, psikoterapi, terapi kelompok, terapi keluarga sebagainya. Secara umumnya, pendekatan yang dibuat oleh masyarakat Barat terhadap perawatan penyakit gelisah ini sebenarnya hanya menggnnakan pendekatan yang sekadar merawat gejala-gejala eksternal yang terhasil dari penyakit tersebut dan bukannya penyakit itu sendiri. Manakala Islam yang melihat kecelaruan gelisah ini sebagai berpunca dari hati atau rohani, memerlukan pendekatan yang berlainan daripada pendekatan yang dipelopori oleh masyarakat Barat tersebut. 

Dalam perkara ini, Islam telah menganjurkan bentuk-bentuk perawatan penyakit tersebut yang lebih melihat kepada pembersihan jiwa (tazkiyyah al-nafs) dengan perpandukan al-Qur'an al-Karim. Allah menjelaskan bahawa al-Qur'an adalah penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dia juga menegaskan bahawa ia (al-Quran) juga merupakan penyembuh bagi segala penyakit dalam dada (al-sudur) manusia. Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Yunus 10: 57 yang bermaksud: 

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur'an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk hidayah untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."

Berdasarkan firman di atas, dapat disimpulkan bahawa penyakit yang berkaitan dengan jiwa atau rohani ini sebenarnya mempunyai penawar tersendiri, hasil dari pencari galian tentangnya dalam al-Qur'an. Atau dengan kata lain penyakit kegelisahan (anxiety / al-halu') ini sememangnya boleh diiubati dengan menggunakan cara yang dianjurkan oleh al-Qur'an khususnya atau ajaran Islam umumnya. 

Antara saranan yang diketengahkan ialah sebagaimana yang didapati dalam al-Qur'an dari Surah al-Ma'arij 70: 22-23 yang bermaksud: 

"Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang (solat) iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang." 

Daripada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti zikir, doa, tasbih, takbir dan tahmid. Zikrullah yang didefinisikan sebagai mengingati Allah secara berulang-ulang berdasarkan perasaan rindu kepadaNya berperanan mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Zikrullah juga mampu mengikat jiwa dengan Penciptanya dengan ikatan yang kukuh. 

Al-Sharqawi menyarankan bahawa kesan zikrullah yang dipraktikkan oleh manusia adalah berbeza di antara satu sama lain berdasarkan keikhlasan dan kesungguhan mereka. Penguasaan hati yang sepenuhnya ketika berzikir mampu memberi kesan mendalam kepada pengamalnya, tetapi sebaliknya apabila pengamalnya tidak dapat mengkonsentrasikan amalannya, maka kesan yang diperolehi juga berkurangan. 

Merujuk kepada ibadah solat yang dikategorikan sebagai salah satu kategori zikrullah, Afzalur Rahman, seorang penulis Islam telah menyatakan kelebihan solat sebagaimana berikut: Prayer develops in man such qualities as patience, endurance, contentment and perseverance, which are neede in the service of justice and goodness and, above all, are a source of strength in face of the hardships and suffer ings of life...He [the Holy Prophet] is further asked to establish prayer to strengthen his power of patience and endurance...For through prayer they get not only strength but also spiritual joy. This is the miracle of prayer, that it gives contentment and happiness to an individual.

Seseorang individu yang menguasai kelebihan yang terhasil dari ibadah solat akan mempunyai jiwa yang kuat dan teguh. Situasi inilah yang mampu menghindari seseorang daripada kecelaruan gelisah apabila ditimpa pelbagai musibah. Ketika menghadapi kesusahan-kesusahan hidup ini, mereka yang berjaya merealisasikan kelebihan solat ini akan menganggap setiap musibah yang menimpa itu sebagai suatu cabaran hidup yang perlu ditangani dengan penuh kesabaran di samping meyakini bahawa Allahlah yang berkuasa ke atas segala urusan hidupnya.

Oleh yang demikian, seseorang itu akan meredai kesemua perkara yang terjadi kepadanya sambil meyakini bahawa rahmat Allah itu meliputi setiap sesuatu. Selain itu, ibadah solat yang mengandungi konsep tasb'ih, tahmid dan takbir mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah Ta'ala dan Rasulullah s.a.w.. Cinta yang mendalam hasil zikrullah ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan kebesaranNya. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah [2:152] yang bermaksud: "Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat [pula] kepadamu." Dan firmanNya lagi dalam Surah al-Ahzab [33:35] yang bermaksud:"Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut [nama] Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar." Dan firmanNya lagi dalam Surah al-Ankabut [29:45] yang bermaksud: "Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah besar [keutamaannya]." 

Selain itu, ibadah solat yang mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah Ta'ala juga mempunyai kelebihan bagi menyembuh atau pun menghindari seseorang individu daripada kecelaruan gelisah tersebut. Ibadah solat ini memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Penciptanya. Malahan mereka dibenarkan mencurahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa-doa yang dipanjatkan kepadaNya. Cara ini menepati kaedah kaunseling dan terapi yang digunakan oleh perubatan moden kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi. Kaedah ini dipersetujui oleh 'Abd al-Razzaq Nawfal yang memetik kata-kata Dr Rose Helverdink, seorang kaunselor di Hospital Boston yang berpendapat bahawa antara ubat-ubatan yang dapat menyembuhkan kegelisahan ialah apabila pesakit menceritakan semua kesulitan dan penderitaannya yang dihadapinya kepada seseorang yang dipercayainya. Semasa pesakit memaparkan semua penderitaan dan kesulitannya dengan panjang lebar, kegelisahan yang bersarang dalam hatinya akan hilang kerana pengaduan adalah suatu ubat yang mampu menyembuh penyakit jiwa tersebut. 

Manakala sikap suka menyimpan dan memendam perasaan kesusahan dan kegelisahan sendiri adalah suatu cara yang boleh menimbulkan gangguan saraf yang akhirnya menyebabkan penyakit jiwa berlaku. Kelebihan ini diakui oleh H. Aulia, seorang pengkaji Indonesia yang menulis: Bila doa itu dibiasakan dengan betul-betul bersungguh-sungguh, maka pengaruhnya menjadi sangat jelas. la merupakan semacam perubatan kejiwaan dan kebadanan. Ketenteraman yang ditimbulkan oleh doa itu merupakan pertolongan yang besar pada pengobatan. Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat ini mempunyai pelbagai kelebihan bagi merawati penyakit gelisah dan kebimbangan atau pun untuk menghindarinya dari berlaku kepada seseorang Muslim.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan perbincangan di atas ialah psikologi moden yang hanya menitik beratkan permasalahan kecelaruan gelisah ini dari aspek luaran sahaja sebenarnya tidak mencukupi untuk merawati pesakit yang menghidapinya. Tetapi sebaliknya Islam yang menekankan persoalan kerohanian telah menyarankan salah satu cara yang paling berkesan bagi merawatinya ialah dengan melaksanakan ibadah wajib dalam Islam iaitu ibadah solat yang perlu dikerjakan secara tekun, bersungguh-sungguh, ikhlas dan khusyu'. Kelebihan-kelebihan orang yang mengerjakan solat tersebut dengan disiplin yang tinggi telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Qur'an. Malahan kaedah ini dapat dilihat sebagai salah satu cara yang berkesan untuk mengubati penyakit jiwa yang berkaitan dengan kejiwaan dan kerohanian yang tidak mampu diungkap dengan mata kasar.

Wallahua'alam


Dipetik dari tesis tulisan Che Zarrina Sa'ari berjudul 'Penyakit Gelisah (Anxiety / Al-Halu) dalam Masyarakat Islam dan Penyelesaiannya menurut Psiko-Spiritual Islam' 

No comments:

Post a Comment