Monday, 13 September 2021

Benarkah perempuan diciptakan dari tulang rusuk Nabi Adam yang bengkok?

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

" Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan menciptakan darinya pasangannya; Allah memperkembangbiakkan dari keduanya laki-laki yang banyak dan perempuan. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta dan (pelihara pula) hubungan silaturrahim "
[An-Nisa' :1]

Firman Allah swt. dalam ayat 1 surah An-Nisa' iaitu  مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ difahami majoriti ulamak dalam erti Adam a.s yang darinya diciptakan  زَوجَها zaujaha, yang secara harfiah bermakna pasangannya yakni Hawa. Agaknya, kerana ayat ini menyatakan bahawa pasangan itu diciptakan dari nafsin wahidah yang bererti Adam, para mufasir terdahulu memahami bahwa isteri Adam diciptakan dari Adam sendiri atau secara detailnya dari tulang rusuk baginda. Adakah pendapat tersebut tepat? Kita akan bahaskan dalam poin seterusnya.

Pandangan ini seterusnya melahirkan pandangan negatif terhadap perempuan dengan menyatakan bahawa perempuan adalah bagian dari lelaki. Banyak penafsir menyatakan bahawa pasangan Adam itu diciptakan dari tulang rusuk Adam sebelah kiri yang bengkok dan kerana itu-tulis al-Qurthubi dalam tafsirnya-perempuan bersifat 'auwja' /bengkok. Pandangan ini mereka perkuat dengan hadis Rasul saw. yang menyatakan: "Saling berwasiatlah untuk berbuat baik kepada wanita kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok kalau engkau membiarkannya, ia tetap bengkok, dan bila engkau berupaya meluruskannya, ia akan patah" (HR. at-Tirmidzi melalui Abu Hurairah)

Hadis ini difahami oleh ulama-ulama terdahulu dalam erti harfiah (makna tersurat atau selapis yg dapat difahami secara mudah dan jelas). Namun tidak sedikit ulama kontemporari ( masa kini) memahaminya dalam erti metafora, bahkan ada yang menolak kesahihannya. Yang memahami secara metafora menyatakan bahawa hadis itu mengingatkan para golongan lelaki atau suami agar menangani kaum perempuan atau isteri dengan bijaksana kerana ada sifat dan kudrat bawaan mereka yang berbeza dengan kaum lelaki sehingga, bila tidak disedari , akan menyebabkan kaum lelaki bersikap tidak wajar.  Tidak ada yang mampu mengubah kudrat bawaan itu. Kalaupun ada yang berusaha, akibatnya akan fatal seperti upaya meluruskan tulang rusuk yang bengkok.

Thabathaba'i dalam tafsirnya menulis bahawa ayat diatas menegaskan bahawa perempuan (isteri Adam a.s) diciptakan dari jenis yang sama dengan Adam, dan ayat tersebut sedikit pun tidak mendukung kefahaman yang beranggapan bahawa perempuan diciptakan dari tulang rusuk Adam. Memang, tidak ada petunjuk dari al-Qur'an yang mengarah ke sana atau bahkan mengarah kepada penciptaan pasangan Adam dari unsur yang lain.

Dari manakah asalnya idea kelahiran Hawa dari tulang rusuk Adam sebenarnya? Menurut Sayyid Muhammad Rasyid Ridha, ia timbul dari apa yang termaktub dalam Perjanjian Lama (Kejadian 2:21-22) yang menyatakan bahawa ketika Adam tidur lelap, diambil oleh Allah sebilah tulang rusuknya, lalu ditutupkannya pula tempat itu dengan daging. Maka dari tulang yang telah dikeluarkan dari Adam itu dibuat Tuhan seorang perempuan.

Tulis Rasyid Ridha: "Seandainya tidak tercantum kisah kejadian Adam dan Hawa dalam Perjanjian Lama, seperti redaksi di atas, nescaya pendapat yang menyatakan bahawa perempuan diciptakan dari tulang rusuk Adam tidak pernah akan terlintas dalam benak seorang muslim."

Jikalau dengan sangkaan pun terdapat kebenaran tentang penciptaan perempuan itu dari tulang rusuk Adam, maka itu bukan bererti bahawa kedudukan wanita-wanita selain Hawa adalah lebih rendah dibanding dengan lelaki. Ini kerana semua lelaki dan wanita anak cucu Adam lahir dari gabungan antara lelaki dan wanita sebagaimana penegasan dalam surah al-Hujurat :13 


يَـٰٓأَيُّہَا النّاسُ إِنّا خَلَقنٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ وَجَعَلنٰكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ لِتَعارَفوا ۚ إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

[al-Hujurat: 13]

Lelaki lahir dari pasangan ayah dan ibu, begitu juga wanita. Kerana itu, tidak ada perbedaan dari segi kemanusiaan antara keduanya. Kekuatan lelaki diperlukan oleh wanita dan kelemahlembutan wanita didambakan oleh sang lelaki. Jarum harus lebih kuat daripada kain, dan kain harus lebih lembut daripada jarum. Kalau tidak, jarum tidak akan berfungsi dan kain pun tidak akan terjahit. Dengan berpasangan, akan tercipta pakaian yang indah, serasi, dan nyaman.

Wallahua'lam

Sumber:
Tafsir al-Mishbah Jilid 2 (Tafsir Surah an-Nisa;)
https://celiktafsir.net/2017/05/24/hujurat-ayat-12-13/

No comments:

Post a Comment