Pada post kali ini, penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk merenung kembali Sabda Nabi S.A.W dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ad Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi,. Abu Ha'nifah, Tabrani, dan Hakim.
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]
Inilah antara hadis sahih yang dipegang kukuh oleh beberapa pendokong salafi ataupun Wahhabi yang mendakwa mereka adalah antara golongan yang mendokong usaha murni Imam Ibn Taymiyyah membersihkan masyarakat Islam dari usaha sesetengah pihak mengotori jiwa masyarakat dengan membawa amalan-amalan tertentu yang bercanggah dengan amalan para ulama salaf dan seterusnya menyalahi Sunnah Rasulullah S.A.W. Mereka mendakwa merekalah Ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar. Apakah maksud Ahli Sunnah Waljamaah. Ia tidak disebut secara khusus dalam Al-Quran atau Hadis tetapi merupakan perkataan Ulama.
Di satu sudut yang lain, terdapat segolongan yang tidak sefahaman dengan golongan Salafi ini yang berpegang kepada Suatu Fahaman Akidah yang disandarkan kepada seorang ulama dari Basrah yang wafat pada tahun 935M yang terkenal dengan nama Abu al-Hasan al-Asy'ari. Sedikit mengenai tokoh besar ini. Beliau dilahirkan di Basrah, Iraq pada Tahun 873M dan wafat di Baghdad pada Tahun 935M. Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari diasuh dari kecil oleh ayah tirinya yang secara langsung menjadi gurunya iaitu Abu Ali Muhammad al-Jubbai, iaitu seorang tokoh besar Fahaman Muktazilah. Kecerdasan Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari terserlah dari kecil sehingga dewasa sehingga beliau dapat menguasai pemikiran Muktazilah dan seterusnya menggantikan gurunya itu untuk berdebat dengan pihak lain.
Kemudiannya, pada umur 40 Tahun, beliau telah keluar dari fahaman Muktazilah dan kembali kepada Akidah Ahlu al-Sunnah. Beliau naik ke mimbar dan berpidato "Saudara-saudara sekalian, Saya Abu al-Hasan al-Asy'ari mengaku dihadapan anda semua pada hari ini bahawasanya setelah saya meneliti dalil-dalil yang dikemukakan oleh semua pihak ternyata dalil-dalil itu pada hemat saya sama kuat. Saya memohon kepada Allah agar diberi petunjuk jalan yang benar. Oleh sebab itu, di atas petunjuk Allah, saya sekarang meninggalkan keyakinan lama (Muktazilah) dan menganut keyakinan baru (Ahlu as-Sunnah). Keyakinan lama saya lepaskan sebagaimana saya melepaskan baju yang saya pakai ini". Semenjak dari itu, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari gigih menyebarkan fahaman barunya sehingga terbentuk mazhab yang baru dengan nama Ahli Sunnah Waljamaah. Pengikut Beliau dikenali dengan panggilan Asyariah atau al-Alsyairah.
Antara kitab beliau yang membahaskan fahaman Akidah untuk menentang golongan Muktazilah dan Jahmiyyah yang berhujah menggunakan akal semata ialah Kitab Al-Ibaanah 'An Usool ad-Diyaanah. Seterusnya, antara akidah Tauhid yang diperkenalkan adalah pembahagian sifat Allah dan Nabi menggunakan hukum akal yang dikenal sebagai akidah 50, di mana Allah memiliki 20 sifat wajib, 20 sifat mustahil, dan 1 sifat ja'iz, sementara Nabi memiliki 4 sifat wajib, 4 sifat mustahil dan 1 sifat ja'iz. Ajaran ini juga dikenal dengan sifat 20 ketika dinisbatkan kepada Allah.
Meskipun beliau dahulunya berasal dari golongan Mu'tazilah, Imam Asy'ari meninggalkan kefahaman Mu'tazilah (seperti mendahulukan akal daripada dalil dalam Al-Qur'an dan Hadis; menganggap Al-Qur'an sebagai makhluk; memfasikkan pelaku dosa besar; dan memungkiri kemungkinan melihat Allah karena beranggapan bila melihat Allah adalah mungkin, maka Allah bertempat) lalu kembali ke arah ahlussunnah wal jama'ah dan menghancurkan Teologi Mu'tazilah.
Titik Pertemuan atau Titik Perpisahan
Perlu diingat bahawasanya, pada zaman Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari, fahaman Tauhid yang dikemukakan adalah gabungan dalil naqli dan 'aqli dimana pada zaman tersebut, fahaman falsafah menyeleweng tersebar luas seperti Muktazilah dan Jahmiyyah yang percaya menggunakan akal untuk mengatakan Al-Quran adalah makhluk. Berbeza pada zaman Ibn Taymiyyah, dimana masyarakat pada masa tersebut terlalu taksub dengan ilmu tasawuf tanpa mempedulikan amalan lain yang lebih utama seperti berjihad dsb, maka Imam Ibn Taymiyyah terpaksa bangkit menentang dengan menggunakan Fahaman Tauhid 3 Serangkai (Uluhiyyah, Rububiyah dan Asma Wassifat) untuk mengembalikan kemurnian fahaman Tauhid dan menjauhi amalan-amalan menyeleweng seperti menyembah kubur para wali dsb.
Setelah membuat perbandingan diantara segolongan pemikir islam terkemuka dari Malaysia dan Indonesia, saya dapat membuat rumusan dimana terdapat 3 jenis sudut pandang mengenai adakah fahaman Salafi menyalahi secara terus akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang difahami jumhur ulama ataupun ada unsur lain yang terlibat. Antaranya ialah pengaruh Syiah, Orientalis Barat dan juga sikap serta adab dalam meraikan perbezaan pendapat antara umat Islam sendiri. Kelemahan dalam menilai status Hadis (sama ada, Sahih, Dha'if, Matruk, Maudu') disamping Taqlid buta kepada Ulama/Ustaz tertentu menjadi punca api permusuhan ini semakin merebak.
Persoalannya disini, adakah perbezaan pendapat merupakan suatu musibah bagi umat Islam? Sudah tentu tidak. Sebagai contoh, perbezaan ijtihad dari Ulama Fiqh seperti Imam 4 Mazhab sebenarnya merupakan satu peluang untuk orang awam memilih ijtihad yang sesuai mengikut situasi dan permasalahan yang dihadapi tanpa memberati pihak yang terlibat.
Isu ini tidak melibatkan Taqlid atau Talfiq, tetapi lebih menekankan kepada kemudahan orang awam ataupun golongan yang mengikuti Mazhab terbabit untuk mengamalkan ilmu berkaitan Fiqh tanpa unsur fitnah yang mungkin timbul yang juga perlu diambil berat. Allah S.W.T berfirman dalam surah Hud,
وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ
"Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan".
[Surah Hud:118]
Berbalik kepada sudut pandang berbeza antara pemikir-pemikir Islam dari Nusantara yang disebutkan tadi, penulis mendapati mereka adalah antara golongan yang ikhlas dalam menyebarkan fahaman agama sebenar kepada masyarakat namun tidak terpisah dari kelemahan atau kekhilafan dalam menilai atau berfatwa mengenai isu ini.
Sudut Pandang Pertama (Ulama Syadid)
Sudut pandang yang pertama adalah yang keras (syadid) dalam menghukum golongan lain yang berbeza pandangan dengan mereka. Adakalanya mereka menuduh fahaman yang bertentangan dengan tuduhan sesat, pengamal Bid'ah Dholalah, kufur dan gelaran-gelaran lain yang kurang enak didengar. Hujah yang mereka kemukakan adalah dengan mengambil ibarah dari akhlak Imam Mujtahid seperti Imam Malik, Imam Bukhari yang dimasa hayat mereka sangat menjaga lisan dan adab dalam percakapan, tetapi apabila berkaitan dengan Agama, mereka akan bangkit dan lantang bersuara.
Sudut Pandang Kedua
Sudut pandang ini adalah yang sederhana dan mengambil pandangan dari kedua-dua fahaman dengan meraikan perbezaan Ijtihad diantara Ulama yang berbeza zaman dan situasi masyarakat. Sudut pandang ini adalah yang dipilih penulis dan akan dihuraikan selepas ini.
Sudut Pandang Ketiga (Orang Awam)
Sudut pandang ini adalah dari golongan masyarakat yang kurang ilmu terutamanya dalam memahami ilmu Hadis dan terlampau taksub dengan Ijtihad Ulama tertentu sehingga terikut-ikut dengan trend semasa.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment