Wednesday, 13 November 2019

Ahli Sunnah Waljamaah vs Fahaman Wahhabi (Siri 1)


Umat Islam pada zaman sekarang berada disuatu zaman dimana ilmu agama dapat dipelajari dengan mudah tanpa melalui guru dan proses talaqqi tradisional seperti ilmuwan pada zaman dahulu. Mereka boleh memetik kata-kata ulama Rijal dan Muktabar dalam mengutarakan pandangan mengenai sesuatu isu ataupun hukum dalam sekelip mata. Walaubagaimanapun, beberapa adab dalam menuntut ilmu perlu juga diambil kira dalam mencapai Redha Ilahi disamping mendapatkan jalan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan setelah analisis mendalam tanpa rasa prejudis dijalankan.

Antara adab tersebut adalah tidak melabel sesuatu golongan dan ulama yang berbeza pandangan atau mempunyai pendapat diluar kebiasaan (menurut ilmu kita yang lemah) sebagai Wahhabi atau lebih teruk lagi sebagai Syiah. Selain dari itu, kita perlu juga memperhatikan dan mengkaji metode atau sudut pandangan ulama tersebut tidak kiralah mereka digelar sebagai Habaib, Maulana, Sheikh, Tuan Guru atau Baba. Gelaran-gelaran ini kebiasaannya diberikan oleh masyarakat sebagai cara membezakan mereka dengan orang awam selain mengiktiraf keilmuan dan akhlak mulia yang mereka tunjukkan.

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Golongan ini wajar dihormati kerana mereka adalah antara orang-orang yang dikurniakan Allah S.W.T kecerdasan, ingatan yang kuat selain telah diiktiraf oleh junjungan mulia kita Nabi S.A.W.

                 وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”. 

[Riwayat Abu Daud (3641)][Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya]

Ramai dikalangan umat Islam di zaman moden terutamanya golongan muda yang mencintai ilmu dan berusaha bersungguh-bersungguh untuk mendalami sesuatu bidang/cabang ilmu agama menggunakan pelbagai medium untuk mencapai maksud tersebut. Mereka menonton ceramah yang disampaikan oleh penceramah kegemaran mereka melalui Youtube, membaca artikel yang ditulis ataupun melalui buku yang dikarang. Ulama-ulama ini bagaimanapun tidak terlepas dari kesalahan melalui cara percakapan (nada) ataupun perilaku tertentu (pergaulan) dengan ulama-ulama lain yang sinonim dituduh sebagai Wahabi, Salafi Palsu, pengikut ajaran sesat, penyembah kubur dan sebagainya.

Antara isu yang biasanya dinilai salah oleh para penuntut ilmu ini kebiasaanya melalui pandangan mengkafirkan atau menuduh pengamal Tasawuf disamping salah faham mengenai isu Nur Muhammad ataupun Wahdatul Wujud. Hal ini berlaku kerana pengikut-pengikut ini kadangkala terlampau taksub dengan pandangan penceramah kesayangan mereka yang menuduh para Habaib sebagai sesat ataupun dari sudut yang lain penceramah tersebut pula dituduh sebagai Wahhabi ataupun Syadid dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Saya tertarik untuk menulis mengenai isu ini selepas melihat sudut pandang yang diberikan oleh beberapa 'public figure' yang pada pendapat peribadi saya dinilai sebagai bersifat 'Islamik' disamping berperibadi baik dan dilihat sangat mengagumi beberapa tokoh agama dengan tulisan-tulisan mereka di media sosial atau melalui media massa. 

Melihat kepada komen mereka tentang personaliti/fahaman seorang ustaz yang telah menegur secara baik seorang ustaz yang lain juga mengenai penggunaan hadis yang matruk dalam beramal, saya terpanggil untuk mengkaji apakah sebenarnya dasar fahaman yang dituduh kepada ustaz tersebut seburuk yang disangka ataupun ia hanya sekadar sangkaan semata-mata.

Maka tulisan pada kali ini adalah mengenai suatu fahaman yang mula tersebar dengan meluas bermula pada tahun 1960an di Arab Saudi disamping ia dikaitkan dengan beberapa tokoh islam terkenal seperti Sheikh Muhammad Rashid Redha yang terkenal melalui perkaitannya dengan seorang lagi tokoh Mujaddid iaitu Sheikh Muhammad Abduh. Pada siri pertama ini, saya akan memperkenalkan anda dengan fahaman Wahhabi terlebih dahulu , kemudiannya kita akan menyelami lagi mengenai Akidah Ahli Sunnah Waljamaah pada siri 2.

                                                                                
Fahaman Wahhabi

Fahaman ini dinisbahkan kepada seorang ulama yang berasal dari 'Uyayna di Najd yang meninggal pada tahun 1792M bernama Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Beliau adalah dari keturunan Kabilah Arab Bani Tamim. Bapanya, Abd al-Wahhab adalah penganut fahaman Sunni yang bermazhab Hanbali merupakan Hakim di Najd. Abang beliau yang bernama Sulayman Ibn al-Wahhab juga adalah dari aliran yang sama dan dikatakan pengkritik tegar Sheikh Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Abangnya kemudiannya menulis sebuah buku berjudul al-Sawa`iq al-Ilahiyya fi Madhhab al-Wahhabiyya untuk menyatakan pendiriannya tersebut.

Muhammad Ibn Abd al-Wahhab memulakan pengajiannya di Najd bersama Bapanya, Abd al-Wahhab dan menghafaz Al-Quran pada usia yang muda. Beliau seterusnya meneruskan pengajian di Madinah dan menemui gurunya, seorang Ulama bermazhab Hanbali yang juga berasal dari Najd bernama Abd Allah bin Ibrahim al-Najdi. Bermula dari pertemuan inilah terbentuknya pemikiran Muhammad Ibn Abd al-Wahhab atau dikenali oleh pengikutnya dengan Wahhabi atau Salafi. Abdullah Ibrahim al-Najdi atau nama sebenarnya Abdullah Ibn Ibrahim Ibn Sayf adalah merupakan pelopor ajaran Neo-Hanbali hasil tangan Ulama Terkenal dari Harran, Ibn Taymiyya (meninggal pada tahun 1328M).

Sedikit mengenai Ibnu Taymiyyah dan aliran pemikirannya. Nama asal Ibn Taymiyyah ialah Taqī ad-Dīn Abu 'l-`Abbās Ahmad ibn `Abd al-Ḥalīm ibn `Abd as-Salām ibn ʿAbd Allāh ibn al-Khidr ibn Muhammad ibn al-Khidr ibn `Ali ibn ʿAbd Allāh ibn Taymiyyah al-Ḥarrānī. Antara fahaman yang tidak sefahaman dengan aliran Sunni adalah larangan menziarahi atau memuliakan kubur para wali disamping fatwa kontroversi yang membenarkan jihad melawan golongan muslim yang lain.

Berbalik kepada Muhammad Ibn Abd al-Wahhab yang sekarang berguru dengan Abdullah Bin Ibrahim. Gurunya itu kemudiannya memperkenalkan Muhammad Ibn Abd-al-Wahhab kepada seorang penganut tarikat yang dinisbahkan kepada Naqshbandi sufi yang bernama Mohammad Hayya Al-Sindhi yang seterusnya tinggal bersama beliau dan mengajarkan agar menolak fahaman popular dikalangan ahli sunnah iaitu mengagungkan kubur para wali atau amalan yang dikenali sebagai Tawassul.

Sekembalinya beliau ke 'Uyayna, majlis taklim beliau menarik ramai pengikut termasuklah pemimpin 'Uyayna pada masa tersebut iaitu Uthman Ibn Mu'ammar. Muhammad Ibn Abd al-Wahhab mula melibatkan diri dalam politik pada masa ini dengan membuat perjanjian dengan Ibn Mu'ammar dimana beliau selaku tokoh berpengaruh akan membantu perluasan kuasa Ibn Mu'ammar ke seluruh 'Uyayna seterusnya sehingga ke seluruh Najd. Dengan bantuan pengaruh politik barunya, Ibn Abd al-Wahhab melaksanakan beberapa doktrin dan fahamannya dengan langkah-langkah berikut:

1. Meratakan kubur milik Zayd ibn al-Khattab (sahabat Nabi S.A.W) yang diagungkan oleh penduduk tempatan.
2. Memotong beberapa batang Pokok yang dianggap suci oleh penduduk sekitar.
3. Mengadakan satu acara merejam seorang wanita yang mengaku berzina.

Namun begitu, tindakan Ibn Abd al-Wahhab itu menarik perhatian penguasa Al-Hasa dan Qatif  yang sangat berpengaruh di Najd, Sulaiman Ibn Muhammad Ibn Ghurayr dari Bani Khalid. Ibn Muammar kemudiannya terpaksa menghalau Ibn Abd al-Wahhab dari 'Uyayna setelah didesak oleh Ibn Ghurayr.

Beliau kemudiannya dijemput oleh Penguasa suatu negara yang berjiran dengan Najd iaitu negara Diriyah. Pemimpin Diriyah pada masa tersebut ialah Muhammad Bin Saud, Pengasas Kerajaan Arab Saudi pada masa sekarang. Mereka berbaiat dan berjanji akan sama-sama membantu menguasai Semenanjung Arab dan mengembalikan bangsanya kepada ajaran Islam sebenar (mengikut pandangan mereka). Perjanjian mereka pada Tahun 1744 kekal sehingga sekarang dengan perlantikan Al ash-Sheikh sebagai penasihat agama rasmi Kerajaan Saudi.


                                                                           Kerajaan terawal Arab Saudi (1744-1818)

Fahaman Wahhabi 

Ibn 'Abd al-Wahhab merasakan fahaman yang dibawanya adalah satu usaha menyucikan penganut agama dari ajaran yang baru (Bid'ah). Pengajarannya berkisar mengenai asas utama ajaran Islam iaitu Tauhid (Versi Wahhabi) dan menolak amalan syirik dan menolak syariat-syariat tertentu yang dipelopori ulama Zaman Pertengahan (Jumhur Ulama). Inti utama fahaman Wahhabi boleh ditemui didalam Kitab al-Tawhid dimana beliau menekankan permohonan doa atau meminta pertolongan hanya kepada Allah S.W.T.

Beliau beranggapan orang Islam yang mengamalkan tawassul adalah termasuk dari amalan syirik dan boleh diisytiharkan sebagai Kafir ataupun Musyrik. Fahaman seperti ini dikenali sebagai Wahhabi ataupun seperti kebanyakan pengikutnya lebih suka dikenali sebagai Salafi. Walaubagaimanapun, Ilmuwan Islam berpendapat bahawasanya ajaran Wahhabi ini adalah lebih bersifat Kenegaraan (Arab Saudi) disamping ianya lebih syadid (keras) berbanding fahaman Salafi yang bertebaran di merata tempat di seluruh dunia.

Menurut seorang Professor Teologi dari Amerika Syarikat, Natana J. DeLong-Bas yang mengkaji dan menulis buku mengenai Muhammad Ibn Abd al-Wahhab dan fahamannya, beliau berpendapat, 

         "Walaupun Ibn Abd al-Wahhab pada satu masa bersungguh-sungguh mengutuk kumpulan agama lain atas kepercayaan mereka yang dikatakan bidaah, beliau tidak pernah menghalalkan darah mereka...kerana pada anggapannya, mereka nanti tetap akan dihukum di Akhirat"

Kesimpulan:
Besarlah harapan penulis jika para penuntut ilmu sekalian lebih berwaspada menjatuhkan hukuman ke atas Ulama-Ulama terdahulu ataupun ulama zaman moden seperti Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab, Imam Ibnu Taymiyyah, Sheikh Nasirudin al-Albani, Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah(HAMKA), para Habaib, Maulana Asri Hj Yusoff, Ustaz Khalid Basmalah, Dr Kamilin Jamilin (sekadar menyebut beberapa nama) dengan label yang kurang elok dan bernada negatif. Hargailah usaha mereka menyebarkan ilmu dikalangan masyarakat dan marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang sebenar-benarnya.

والله أعلم بالصواب

~Pencinta Ahli Sunnah Wal Jamaah (9 November 2019)
-Bekenu, Sarawak


(Fakta dan nama didalam tulisan ini adalah hasil dari kajian penulis blog sendiri. Jika terdapat kesalahan atau percanggahan fakta boleh hubungi melalui pautan berikut-whatsapp)

Rujukan
1.https://en.wikipedia.org/wiki/Muhammad_ibn_Abd_al-Wahhab#cite_note-WahhabiIslam-75
2.DeLong-Bas, Natana J. (2004). Wahhabi Islam: From Revival and Reform to Global Jihad (First ed.). New York: Oxford University Press, USA. p. 61. ISBN 0-19-516991-3.
3.https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/902-irsyad-al-hadith-siri-ke-179-ulama-umatku-umpama-nabi-bani-israil



No comments:

Post a Comment