Thursday 4 May 2023

Martabat Tujuh-Huraian oleh Sheikh Abdul Somad Al-Falimbani (Siyar al-Salikin)


 "Tujuh dalam satu - satu dalam tujuh" dan "satu dalam banyak - banyak dalam satu". Peringkat Martabat tujuh terdiri daripada ahadiyah, wahdah, wahidiyah, alam arwah, alam mithal dan alam Insan

                                                                            (Sheikh Abdul Somad al-Falimbani)


Perkataan ahadiyah, wahdah  dan wahidiyah berasal daripada وحد ertinya satu, tetapi tidak dapat diterjemahkan maksudnya yang sebenar, sebab itu dikekalkan tiga perkataan ini begitu sahaja, malah dalam buku -buku berbahasa Inggeris juga tidak dapat diterjemahkan. Maksud sebenar tiga perkataan tersebut seperti yang tercatat dalam kitab Siyar al-Salikin oleh al-Falimbani adalah seperti yang berikut.


1. Martabat ahadiyah, maksudnya ialah dinamakan juga (Allah) la ta'yun dan martabat al-Itlaq juga Zat al-Baht ertinya zat semata-mata, iaitu Allah tanpa sifat dan asma'. 

2. Martabat wahdah, dinamakan juga (Allah) ta'yun awal (nyata pertama) dan Haqiqah Muhammadiyah. Pada tahap ini diketahui segala zat dan sifat Allah secara ijmal sahaja tanpa dapat membezakannya.

3. Martabat wahidiyah, dinamakan juga (Allah) hakikat insan. Pada martabat ini barulah Allah diketahui segala sifat dan asma' Allah secara terperinci satu per satu.


Tiga martabat ini qadim lagi azali. Jadi Haqiqah Muhammadiyah termasuk dalam wahdah dan hakikat insan termasuk dalam wahidiyah hakikat ketuhanan yang qadim lagi azali. Tiga martabat ini ada serentak, tanpa berkait dengan masa sama ada dahulu atau kemudian, tetapi disebut dahulu kemudian hanyalah menurut kerja akal semata-mata. 1


4. Martabat alam arwah, dinamakan juga Nur Muhammad. maksud Nur Muhammad ini ialah benda halus semata-mata yang tidak bersusun dan berbeza.

5. Martabat alam mithal. maksud alam mithal ini ialah benda halus yang sudah boleh bersusun dan berbeza.

6. Martabat alam ajsam, iaitu segala benda berceraian yang terdiri daripada tanah, air, angin, dan api termasuklah tumbuhan, binatang, jin dan manusia.

7. Martabat alam insan, atau martabat jami'ah, iaitu martabat yang menghimpunkan semua enam martabat terdahulu yang dinamakan martabat alam insan. Dinamakan juga martabat tajalli al-akhir ertinya martabat tajalli (penampakan) Allah yang terakhir sekali.


Hal ini menunjukkan bahawa Martabat Tujuh bererti Allah terbahagi kepada zahir dan batin. Batin ialah martabat ahadiyah. wahdah, dan wahidiyah, manakala zahir Allah pula ialah alam arwah, alam mithal, alam ajsam dan alam Insan. Cantuman daripada zahir dan batin ini adalah segala-galanya. inilah maksud Wahdat al-Wujud Martabat Tujuh.


Rujukan:

A.H. Johns, t.th. The Gift Adressed to the Spirit of the Prophet Muhammad. Canberra: The Australian National University, hlm. 131

Abdulfatah Haron Ibrahim, Ahli Sunnah dan Wujudiyah-Batiniyah  hlm. 208-209


Disclaimer: Tulisan ini adalah untuk tujuan perkongsian ilmu sahaja. Perlu diketahui bahawa Fahaman Wahdatul Wujud menyalahi al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW. Wallahua'alam.


No comments:

Post a Comment