AMALAN BID'AH DALAM MASYARAKAT MELAYU
Dari A'isyah r.anha, Nabi SAW telah bersabda:
من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد
"Barangsiapa melakukan perbuatan yang tidak ada dalam urusan (sunnah)ku, maka ia ditolak."
(Muttafaqun alaih)
Ibn Umar r.anhuma berkata:
كلُ بدعةٍ ضلالةٌ وإن رآها الناسُ حسنةً
"Setiap bid'ah itu kesesatan, meskipun dianggap baik oleh manusia."
(Al-Albani berkata sanadnya sahih.)
Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: "Tidak boleh bagi sesiapapun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar untuk mencipta (ibtida') ibadah yang baru dalam agama Allah, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Hanya Allah sahaja pembuat syariat dan al-Rasul pula adalah penyampai, sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba' (mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya). [Al-Ibadah fi al-Islam]
Ringkasan mengenai pengertian bid'ah
Bid'ah itu adalah perkara baru yang diada-adakan di dalam urusan 'ibadah' dan 'agama'. Contohnya mencipta bentuk solat baru, atau zikir baru dengan kaifiyyat atau aturan tertentu dan seumpamanya yang tidak ada contoh atau dalil dari Nabi SAW. Bagi urusan bersifat duniawi, ia tidaklah termasuk sebagai bid'ah. Contohnya apabila ada orang yang berkata: "Naik kereta pun bid'ah sebab dia perkara baru, zaman nabi tak ada!" atau "Cermin mata kau tu bid'ah sebab zaman Nabi tak ada orang pakai cermin mata." Ini adalah kefahaman yang dangkal dan jahil mengenai persoalan bid'ah. Bid'ah itu tidak terjadi di dalam urusan duniawi, bahkan Nabi SAW bersabda:
أنتم أعلم بأمور دنياكم
"Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian."
(Riwayat Muslim)
AMALAN BID'AH DI DALAM MASYARAKAT MELAYU
1. KENDURI TAHLIL ARWAH
Kebanyakan umat Islam di negara ini menyangka bahawa isu kenduri tahlil arwah adalah masalah khilaf, akan tetapi hakikatnya ia bukanlah masalah khilaf. Bahkan para imam besar melarangnya dan kita tidak temui di kalangan mereka, seorangpun yang mengizinkannya.
Dalil
Dari Jarir bin Abdullah r.anhu, beliau berkata:
كنَّا نرى الاجتماعَ إلى أَهلِ الميِّتِ وصنعةَ الطَّعامِ منَ النِّياحة
"Kami (sababat-sahabat Nabi Muhammad SAW) mengira bahawa berkumpul bersama keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk dalam meratap (meratapi mayat)."
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah. Sanadnya sahih)
al-Imam an-Nawawi berkata di dalam Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab: "Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW sedikit pun. Ia adalah bid'ah yang tidak disukai." [Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab, 5/320, Beirut: Dar al-Fikr.]
Dr. Wahbah Az-Zuhaily berkata di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh: "Adapun ahli keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai maka ia adalah makruh dan bid'ah yang tiada asal baginya (dari Nabi SAW). Perbuatan sedemikian menambahkan lagi atas musibah mereka serta menyusahkan mereka atas kesusahan yang telah menimpa mereka dan menyerupai perbuatan ahli jahiliyyah. Sekiranya ia melibatkan harta waris yang belum baligh maka haram disediakan makanan (tersebut)". [Jilid 2 m/s 549-550 cetakan Dar Al-Fikr, cetakan kedua 1989]
Disebut di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Musthofa Al-Khin, Dr. Musthofa Al-Bugho dan Ali Al-Syarbaji: "Keluarga si mati membuat makanan dan menghimpun orang ramai atasnya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman ini. Perbuatan ini adalah bid'ah yang bertentangan dan sangat menyalahi Sunnah". [Juzuk 1 m/s 263 cetakan Darul Ulum Al-Insaniyyah, cetakan pertama 1989]
Syeikh Daud al-Fatani berkata di dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya." [Daud al-Fatani, Bughyah al-Talab 2/34]
2. YASIN MALAM JUMAAT
Amalan ini tidak ada dasarnya di dalam Islam. Di antara bid'ah lain yang turut serta di dalam upacara Yasin malam Jumaat ini adalah ia dibacakan secara berjemaah dan juga mengikut kaifiyyat tertentu yang tidak ada sumber sama sekali dari as-Sunnah. Bahkan yang benar sebenarnya adalah umat Islam disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat.
Dalil
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنْ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Dari Abu Sa'id Al Khudri ia berkata: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat maka ia akan diterangi oleh cahaya yang terangnya mencapai jarak antara dirinya dan Baitul 'Atiq.
(Riwayat ad-Darimi. Isnadnya sahih sehingga Abu Sa'id)
3. MEMBACA YASIN DI MALAM NISFU SYAABAN
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi'in dan tabi' tabi'in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid'ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid'ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka." [Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut]
4. AMALAN MENCUKUR JAMBUL
Di negara ini sesetengah masyarakat Islam akan mengadakan majlis cukur jambul bagi bayi yang baru lahir. Ia biasanya dilakukan pada hari ke-40 selepas kelahiran bayi tersebut. Amalan ini bercanggah dengan sunnah Nabi SAW. Apatah lagi terdapat sedikit sebanyak upacara yang boleh membawa kepada syirik jika salah iqtiqad seperti upacara memasukkan rambut ke dalam kelapa. Jika seseorang itu beriqtiqad perbuatan ini membawa berkat dan seumpamanya, ia boleh menjadi syirik.
Datuk Abu Hassan Din juga pernah mengkritik amalan ini. Beliau berkata: "Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat. Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa. Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini. Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?"
Amalan yang bertepatan dengan sunnah adalah melakukan aqiqah pada hari yang ke-7, mencukur keseluruhan rambut bayi dan memberikan ia nama pada hari tersebut (sekiranya ia masih belum diberikan nama lagi). Ini berdasarkan kepada hadis berikut:
عَنْ سَمُرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغُلَامُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Dari Samurah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Seorang anak laki-laki itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih pada hari ketujuh, pada hari itu ia diberi nama dan dicukur rambutnya."
(Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani)
5. MEMBUAT BINAAN PADA KUBUR
Terdapat segelintir umat Islam pada hari ini yang membuat binaan di atas kubur. Sesungguhnya perbuatan ini telah dilarang oleh Rasulullah SAW.
Jabir r.anhu berkata:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُجَصَّصَ الْقُبُورُ وَأَنْ يُكْتَبَ عَلَيْهَا وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهَا وَأَنْ تُوطَأَ.
"Nabi SAW melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya."
(Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani)
Di dalam riwayat lain disebutkan bahawa:
عَنْ أَبِي الْهَيَّاجِ قَالَ قَالَ عَلِيٌّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَلَا أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِي عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدَعَنَّ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلَّا سَوَّيْتَهُ وَلَا صُورَةً فِي بَيْتٍ إِلَّا طَمَسْتَهَا
Dari Abul Hayyaj dia berkata: 'Ali r.anhu berkata: "Mahukah kamu aku utus untuk melakukan sesuatu sebagaimana Rasulullah SAW mengutusku untuk melakukannya?! Janganlah engkau membiarkan kuburan yang tinggi kecuali engkau meratakannya dan tidak pula sebuah gambar di dalam rumah kecuali engkau musnahkan."
(Riwayat an-Nasa'i. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani.)
6. MELAFAZ NIAT SEBELUM SOLAT ATAU KETIKA WUDHU
Melafazkan niat seperti "Usolli....." tidak syak lagi adalah satu bid'ah yang tercela yang dilakukan oleh kebanyakan orang sekarang.
Ibn Qayyim menyebut di dalam kitabnya 'Ighatsatul Lafhan': "Niat ertinya ialah mensengajakan dan bermaksud sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan. Dari itu tidak pernah diberitakan dari Nabi SAW begitu juga dari para sahabat mengenai lafaz niat ini.
Dan ungkapan-ungkapan yang dibuat-buat dan diucapkan pada permulaan bersuci dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang yang diliputi was-was, yang menahan dan menyeksa mereka dalam lingkaran tersebut, dan menuntut mereka untuk menyempurnakannya. Maka anda lihat masing-masing mereka mengulanginya dan bersusah payah untuk melafazkannya pada hal demikian itu sama sekali tidak termasuk dalam upacara solat."
7. BERSOLAT HAJAT DAN MENINGGALKAN QUNUT NAZILAH
Lazimnya masyarakat di sini apabila ditimpa sesuatu bencana, mereka akan melakukan solat hajat secara berjemaah selepas ditunaikan solat fardu berjemaah. Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Yang benar menurut sunnah Nabi SAW adalah melakukan qunut nazilah ketika solat fardu apabila berlaku sesuatu bencana atau untuk mendoakan kebaikan atau kecelakaan sesuatu kaum. Dalilnya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الْعَتَمَةِ شَهْرًا يَقُولُ فِي قُنُوتِهِ اللَّهُمَّ نَجِّ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ نَجِّ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ نَجِّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ
Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW melakukan qunut pada saat solat Isya` selama satu bulan, ketika qunut beliau berdoa: "Ya Allah, selamatkan Al Walid bin Al Walid, ya Allah, selamatkan Salamah bin Hisyam, ya Allah, selamatkan orang-orang mukmin yang lemah, ya Allah, keraskan siksaMu kepada Mudhar, ya Allah, jadikan siksaMu kepada mereka selama bertahun-tahun seperti beberapa tahun yang dialami Yusuf."
(Riwayat Abu Dawud. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani)
حَدَّثَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا بَعْدَ الرُّكُوعِ يَدْعُو عَلَى حَيٍّ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ
Anas menceritakan bahawa Nabi SAW melakukan qunut selama sebulan setelah rukuk, mendoakan kecelakaan atas sebuah kampung dari Bani Sulaim."
(Riwayat ad-Darimi. Isnadnya sahih)
سنن النسائي ١٠٦٩: أَخْبَرَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ قَالَ أَنْبَأَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ ثُمَّ تَرَكَهُ
"Dari Anas bahawa Rasulullah SAW pernah qunut selama satu bulan; beliau mendoakan kejelekan kepada suatu kabilah dari kabilah-kabilah Arab, kemudian beliau SAW meninggalkan (qunut) nya."
(Riwayat An-Nasa'i. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani)
8. ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA
Selepas solat hari raya, telah menjadi amalan sebilangan masyarakat Islam di sini untuk menziarahi kubur kerabat mereka yang telah meninggal dunia. Amalan ini adalah bid'ah. Ini kerana:
Mengkhususkan hari raya untuk menziarahi kubur tidaklah termasuk dari ajaran atau petunjuk Nabi mahupun para sahabat baginda.
Hari raya adalah hari kebahagiaan, hari kemenangan, bukanlah hari kesedihan dan tangisan. Ini sangat bercanggahan dengan tuntutan Islam iaitu umat Islam perlulah meraikan hari ini dengan penuh kegembiraan.
Hari raya adalah hari untuk berkunjung dan menziarahi orang yang masih hidup, bukan untuk menziarahi orang yang sudah meninggal. Ramai orang yang sehingga mendahulukan menziarahi kubur dari menziarahi sanak saudara mereka yang masih hidup.
Asy-Syuqairi berkata: "Berziarah ke kubur atau makam para wali setelah solat Hari Raya adalah bidaah." [As-Sunan wa al-Mubtadi'at. 117]
Syaikh al-Albani juga berkata: "Ziarah kubur pada hari raya termasuk amalan bidaah." [Ahkam al-Jana'iz. 258]
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment