Thursday, 21 November 2019

Ahli Sunnah Waljamaah vs Fahaman Wahhabi (Siri 2)



Pada post kali ini, penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk merenung kembali Sabda Nabi S.A.W dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ad Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi,. Abu Ha'nifah, Tabrani, dan Hakim.

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]
Inilah antara hadis sahih yang dipegang kukuh oleh beberapa pendokong salafi ataupun Wahhabi yang mendakwa mereka adalah antara golongan yang mendokong usaha murni Imam Ibn Taymiyyah membersihkan masyarakat Islam dari usaha sesetengah pihak mengotori jiwa masyarakat dengan membawa amalan-amalan tertentu yang bercanggah dengan amalan para ulama salaf dan seterusnya menyalahi Sunnah Rasulullah S.A.W. Mereka mendakwa merekalah Ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar. Apakah maksud Ahli Sunnah Waljamaah. Ia tidak disebut secara khusus dalam Al-Quran atau Hadis tetapi merupakan perkataan Ulama.
Di satu sudut yang lain, terdapat segolongan yang tidak sefahaman dengan golongan Salafi ini yang berpegang kepada Suatu Fahaman Akidah yang disandarkan kepada seorang ulama dari Basrah yang wafat pada tahun 935M yang terkenal dengan nama Abu al-Hasan al-Asy'ari. Sedikit mengenai tokoh besar ini. Beliau dilahirkan di Basrah, Iraq pada Tahun 873M dan wafat di Baghdad pada Tahun 935M. Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari diasuh dari kecil oleh ayah tirinya yang secara langsung menjadi gurunya iaitu Abu Ali Muhammad al-Jubbai, iaitu seorang tokoh besar Fahaman Muktazilah. Kecerdasan Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari terserlah dari kecil sehingga dewasa sehingga beliau dapat menguasai pemikiran Muktazilah dan seterusnya menggantikan gurunya itu untuk berdebat dengan pihak lain.
Kemudiannya, pada umur 40 Tahun, beliau telah keluar dari fahaman Muktazilah dan kembali kepada Akidah Ahlu al-Sunnah. Beliau naik ke mimbar dan berpidato "Saudara-saudara sekalian, Saya Abu al-Hasan al-Asy'ari mengaku dihadapan anda semua pada hari ini bahawasanya setelah saya meneliti dalil-dalil yang dikemukakan oleh semua pihak ternyata dalil-dalil itu pada hemat saya sama kuat. Saya memohon kepada Allah agar diberi petunjuk jalan yang benar. Oleh sebab itu, di atas petunjuk Allah, saya sekarang meninggalkan keyakinan lama (Muktazilah) dan menganut keyakinan baru (Ahlu as-Sunnah). Keyakinan lama saya lepaskan sebagaimana saya melepaskan baju yang saya pakai ini". Semenjak dari itu, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari gigih menyebarkan fahaman barunya sehingga terbentuk mazhab yang baru dengan nama Ahli Sunnah Waljamaah. Pengikut Beliau dikenali dengan panggilan Asyariah atau al-Alsyairah.
Antara kitab beliau yang membahaskan fahaman Akidah untuk menentang golongan Muktazilah dan Jahmiyyah yang berhujah menggunakan akal semata ialah Kitab Al-Ibaanah 'An Usool ad-Diyaanah. Seterusnya, antara akidah Tauhid yang diperkenalkan adalah pembahagian sifat Allah dan Nabi menggunakan hukum akal yang dikenal sebagai akidah 50, di mana Allah memiliki 20 sifat wajib, 20 sifat mustahil, dan 1 sifat ja'iz, sementara Nabi memiliki 4 sifat wajib, 4 sifat mustahil dan 1 sifat ja'iz. Ajaran ini juga dikenal dengan sifat 20 ketika dinisbatkan kepada Allah.
Meskipun beliau dahulunya berasal dari golongan Mu'tazilah, Imam Asy'ari meninggalkan kefahaman Mu'tazilah (seperti mendahulukan akal daripada dalil dalam Al-Qur'an dan Hadis; menganggap Al-Qur'an sebagai makhluk; memfasikkan pelaku dosa besar; dan memungkiri kemungkinan melihat Allah karena beranggapan bila melihat Allah adalah mungkin, maka Allah bertempat) lalu kembali ke arah ahlussunnah wal jama'ah dan menghancurkan Teologi Mu'tazilah.
Titik Pertemuan atau Titik Perpisahan
Perlu diingat bahawasanya, pada zaman Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari, fahaman Tauhid yang dikemukakan adalah gabungan dalil naqli dan 'aqli dimana pada zaman tersebut, fahaman falsafah menyeleweng tersebar luas seperti Muktazilah dan Jahmiyyah yang percaya menggunakan akal untuk mengatakan Al-Quran adalah makhluk. Berbeza pada zaman Ibn Taymiyyah, dimana masyarakat pada masa tersebut terlalu taksub dengan ilmu tasawuf tanpa mempedulikan amalan lain yang lebih utama seperti berjihad dsb, maka Imam Ibn Taymiyyah terpaksa bangkit menentang dengan menggunakan Fahaman Tauhid 3 Serangkai (Uluhiyyah, Rububiyah dan Asma Wassifat) untuk mengembalikan kemurnian fahaman Tauhid dan menjauhi amalan-amalan menyeleweng seperti menyembah kubur para wali dsb.
Setelah membuat perbandingan diantara segolongan pemikir islam terkemuka dari Malaysia dan Indonesia, saya dapat membuat rumusan dimana terdapat 3 jenis sudut pandang mengenai adakah fahaman Salafi menyalahi secara terus akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang difahami jumhur ulama ataupun ada unsur lain yang terlibat. Antaranya ialah pengaruh Syiah, Orientalis Barat dan juga sikap serta adab dalam meraikan perbezaan pendapat antara umat Islam sendiri. Kelemahan dalam menilai status Hadis (sama ada, Sahih, Dha'if, Matruk, Maudu') disamping Taqlid buta kepada Ulama/Ustaz tertentu menjadi punca api permusuhan ini semakin merebak.
Persoalannya disini, adakah perbezaan pendapat merupakan suatu musibah bagi umat Islam? Sudah tentu tidak. Sebagai contoh, perbezaan ijtihad dari Ulama Fiqh seperti Imam 4 Mazhab sebenarnya merupakan satu peluang untuk orang awam memilih ijtihad yang sesuai mengikut situasi dan permasalahan yang dihadapi tanpa memberati pihak yang terlibat. 
Isu ini tidak melibatkan Taqlid atau Talfiq, tetapi lebih menekankan kepada kemudahan orang awam ataupun golongan yang mengikuti Mazhab terbabit untuk mengamalkan ilmu berkaitan Fiqh tanpa unsur fitnah yang mungkin timbul yang juga perlu diambil berat. Allah S.W.T berfirman dalam surah Hud,
                                               وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ
"Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan".
[Surah Hud:118]
Berbalik kepada sudut pandang berbeza antara pemikir-pemikir Islam dari Nusantara yang disebutkan tadi, penulis mendapati mereka adalah antara golongan yang ikhlas dalam menyebarkan fahaman agama sebenar kepada masyarakat namun tidak terpisah dari kelemahan atau kekhilafan dalam menilai atau berfatwa mengenai isu ini. 
Sudut Pandang Pertama (Ulama Syadid)
Sudut pandang yang pertama adalah yang keras (syadid) dalam menghukum golongan lain yang berbeza pandangan dengan mereka. Adakalanya mereka menuduh fahaman yang bertentangan dengan tuduhan sesat, pengamal Bid'ah Dholalah, kufur dan gelaran-gelaran lain yang kurang enak didengar. Hujah yang mereka kemukakan adalah dengan mengambil ibarah dari akhlak Imam Mujtahid seperti Imam Malik, Imam Bukhari yang dimasa hayat mereka sangat menjaga lisan dan adab dalam percakapan, tetapi apabila berkaitan dengan Agama, mereka akan bangkit dan lantang bersuara.
Sudut Pandang Kedua
Sudut pandang ini adalah yang sederhana dan mengambil pandangan dari kedua-dua fahaman dengan meraikan perbezaan Ijtihad diantara Ulama yang berbeza zaman dan situasi masyarakat. Sudut pandang ini adalah yang dipilih penulis dan akan dihuraikan selepas ini.
Sudut Pandang Ketiga (Orang Awam)
Sudut pandang ini adalah dari golongan masyarakat yang kurang ilmu terutamanya dalam memahami ilmu Hadis dan terlampau taksub dengan Ijtihad Ulama tertentu sehingga terikut-ikut dengan trend semasa.
Bersambung...

Wednesday, 13 November 2019

Ahli Sunnah Waljamaah vs Fahaman Wahhabi (Siri 1)


Umat Islam pada zaman sekarang berada disuatu zaman dimana ilmu agama dapat dipelajari dengan mudah tanpa melalui guru dan proses talaqqi tradisional seperti ilmuwan pada zaman dahulu. Mereka boleh memetik kata-kata ulama Rijal dan Muktabar dalam mengutarakan pandangan mengenai sesuatu isu ataupun hukum dalam sekelip mata. Walaubagaimanapun, beberapa adab dalam menuntut ilmu perlu juga diambil kira dalam mencapai Redha Ilahi disamping mendapatkan jalan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan setelah analisis mendalam tanpa rasa prejudis dijalankan.

Antara adab tersebut adalah tidak melabel sesuatu golongan dan ulama yang berbeza pandangan atau mempunyai pendapat diluar kebiasaan (menurut ilmu kita yang lemah) sebagai Wahhabi atau lebih teruk lagi sebagai Syiah. Selain dari itu, kita perlu juga memperhatikan dan mengkaji metode atau sudut pandangan ulama tersebut tidak kiralah mereka digelar sebagai Habaib, Maulana, Sheikh, Tuan Guru atau Baba. Gelaran-gelaran ini kebiasaannya diberikan oleh masyarakat sebagai cara membezakan mereka dengan orang awam selain mengiktiraf keilmuan dan akhlak mulia yang mereka tunjukkan.

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Golongan ini wajar dihormati kerana mereka adalah antara orang-orang yang dikurniakan Allah S.W.T kecerdasan, ingatan yang kuat selain telah diiktiraf oleh junjungan mulia kita Nabi S.A.W.

                 وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”. 

[Riwayat Abu Daud (3641)][Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya]

Ramai dikalangan umat Islam di zaman moden terutamanya golongan muda yang mencintai ilmu dan berusaha bersungguh-bersungguh untuk mendalami sesuatu bidang/cabang ilmu agama menggunakan pelbagai medium untuk mencapai maksud tersebut. Mereka menonton ceramah yang disampaikan oleh penceramah kegemaran mereka melalui Youtube, membaca artikel yang ditulis ataupun melalui buku yang dikarang. Ulama-ulama ini bagaimanapun tidak terlepas dari kesalahan melalui cara percakapan (nada) ataupun perilaku tertentu (pergaulan) dengan ulama-ulama lain yang sinonim dituduh sebagai Wahabi, Salafi Palsu, pengikut ajaran sesat, penyembah kubur dan sebagainya.

Antara isu yang biasanya dinilai salah oleh para penuntut ilmu ini kebiasaanya melalui pandangan mengkafirkan atau menuduh pengamal Tasawuf disamping salah faham mengenai isu Nur Muhammad ataupun Wahdatul Wujud. Hal ini berlaku kerana pengikut-pengikut ini kadangkala terlampau taksub dengan pandangan penceramah kesayangan mereka yang menuduh para Habaib sebagai sesat ataupun dari sudut yang lain penceramah tersebut pula dituduh sebagai Wahhabi ataupun Syadid dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Saya tertarik untuk menulis mengenai isu ini selepas melihat sudut pandang yang diberikan oleh beberapa 'public figure' yang pada pendapat peribadi saya dinilai sebagai bersifat 'Islamik' disamping berperibadi baik dan dilihat sangat mengagumi beberapa tokoh agama dengan tulisan-tulisan mereka di media sosial atau melalui media massa. 

Melihat kepada komen mereka tentang personaliti/fahaman seorang ustaz yang telah menegur secara baik seorang ustaz yang lain juga mengenai penggunaan hadis yang matruk dalam beramal, saya terpanggil untuk mengkaji apakah sebenarnya dasar fahaman yang dituduh kepada ustaz tersebut seburuk yang disangka ataupun ia hanya sekadar sangkaan semata-mata.

Maka tulisan pada kali ini adalah mengenai suatu fahaman yang mula tersebar dengan meluas bermula pada tahun 1960an di Arab Saudi disamping ia dikaitkan dengan beberapa tokoh islam terkenal seperti Sheikh Muhammad Rashid Redha yang terkenal melalui perkaitannya dengan seorang lagi tokoh Mujaddid iaitu Sheikh Muhammad Abduh. Pada siri pertama ini, saya akan memperkenalkan anda dengan fahaman Wahhabi terlebih dahulu , kemudiannya kita akan menyelami lagi mengenai Akidah Ahli Sunnah Waljamaah pada siri 2.

                                                                                
Fahaman Wahhabi

Fahaman ini dinisbahkan kepada seorang ulama yang berasal dari 'Uyayna di Najd yang meninggal pada tahun 1792M bernama Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Beliau adalah dari keturunan Kabilah Arab Bani Tamim. Bapanya, Abd al-Wahhab adalah penganut fahaman Sunni yang bermazhab Hanbali merupakan Hakim di Najd. Abang beliau yang bernama Sulayman Ibn al-Wahhab juga adalah dari aliran yang sama dan dikatakan pengkritik tegar Sheikh Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Abangnya kemudiannya menulis sebuah buku berjudul al-Sawa`iq al-Ilahiyya fi Madhhab al-Wahhabiyya untuk menyatakan pendiriannya tersebut.

Muhammad Ibn Abd al-Wahhab memulakan pengajiannya di Najd bersama Bapanya, Abd al-Wahhab dan menghafaz Al-Quran pada usia yang muda. Beliau seterusnya meneruskan pengajian di Madinah dan menemui gurunya, seorang Ulama bermazhab Hanbali yang juga berasal dari Najd bernama Abd Allah bin Ibrahim al-Najdi. Bermula dari pertemuan inilah terbentuknya pemikiran Muhammad Ibn Abd al-Wahhab atau dikenali oleh pengikutnya dengan Wahhabi atau Salafi. Abdullah Ibrahim al-Najdi atau nama sebenarnya Abdullah Ibn Ibrahim Ibn Sayf adalah merupakan pelopor ajaran Neo-Hanbali hasil tangan Ulama Terkenal dari Harran, Ibn Taymiyya (meninggal pada tahun 1328M).

Sedikit mengenai Ibnu Taymiyyah dan aliran pemikirannya. Nama asal Ibn Taymiyyah ialah Taqī ad-Dīn Abu 'l-`Abbās Ahmad ibn `Abd al-Ḥalīm ibn `Abd as-Salām ibn ʿAbd Allāh ibn al-Khidr ibn Muhammad ibn al-Khidr ibn `Ali ibn ʿAbd Allāh ibn Taymiyyah al-Ḥarrānī. Antara fahaman yang tidak sefahaman dengan aliran Sunni adalah larangan menziarahi atau memuliakan kubur para wali disamping fatwa kontroversi yang membenarkan jihad melawan golongan muslim yang lain.

Berbalik kepada Muhammad Ibn Abd al-Wahhab yang sekarang berguru dengan Abdullah Bin Ibrahim. Gurunya itu kemudiannya memperkenalkan Muhammad Ibn Abd-al-Wahhab kepada seorang penganut tarikat yang dinisbahkan kepada Naqshbandi sufi yang bernama Mohammad Hayya Al-Sindhi yang seterusnya tinggal bersama beliau dan mengajarkan agar menolak fahaman popular dikalangan ahli sunnah iaitu mengagungkan kubur para wali atau amalan yang dikenali sebagai Tawassul.

Sekembalinya beliau ke 'Uyayna, majlis taklim beliau menarik ramai pengikut termasuklah pemimpin 'Uyayna pada masa tersebut iaitu Uthman Ibn Mu'ammar. Muhammad Ibn Abd al-Wahhab mula melibatkan diri dalam politik pada masa ini dengan membuat perjanjian dengan Ibn Mu'ammar dimana beliau selaku tokoh berpengaruh akan membantu perluasan kuasa Ibn Mu'ammar ke seluruh 'Uyayna seterusnya sehingga ke seluruh Najd. Dengan bantuan pengaruh politik barunya, Ibn Abd al-Wahhab melaksanakan beberapa doktrin dan fahamannya dengan langkah-langkah berikut:

1. Meratakan kubur milik Zayd ibn al-Khattab (sahabat Nabi S.A.W) yang diagungkan oleh penduduk tempatan.
2. Memotong beberapa batang Pokok yang dianggap suci oleh penduduk sekitar.
3. Mengadakan satu acara merejam seorang wanita yang mengaku berzina.

Namun begitu, tindakan Ibn Abd al-Wahhab itu menarik perhatian penguasa Al-Hasa dan Qatif  yang sangat berpengaruh di Najd, Sulaiman Ibn Muhammad Ibn Ghurayr dari Bani Khalid. Ibn Muammar kemudiannya terpaksa menghalau Ibn Abd al-Wahhab dari 'Uyayna setelah didesak oleh Ibn Ghurayr.

Beliau kemudiannya dijemput oleh Penguasa suatu negara yang berjiran dengan Najd iaitu negara Diriyah. Pemimpin Diriyah pada masa tersebut ialah Muhammad Bin Saud, Pengasas Kerajaan Arab Saudi pada masa sekarang. Mereka berbaiat dan berjanji akan sama-sama membantu menguasai Semenanjung Arab dan mengembalikan bangsanya kepada ajaran Islam sebenar (mengikut pandangan mereka). Perjanjian mereka pada Tahun 1744 kekal sehingga sekarang dengan perlantikan Al ash-Sheikh sebagai penasihat agama rasmi Kerajaan Saudi.


                                                                           Kerajaan terawal Arab Saudi (1744-1818)

Fahaman Wahhabi 

Ibn 'Abd al-Wahhab merasakan fahaman yang dibawanya adalah satu usaha menyucikan penganut agama dari ajaran yang baru (Bid'ah). Pengajarannya berkisar mengenai asas utama ajaran Islam iaitu Tauhid (Versi Wahhabi) dan menolak amalan syirik dan menolak syariat-syariat tertentu yang dipelopori ulama Zaman Pertengahan (Jumhur Ulama). Inti utama fahaman Wahhabi boleh ditemui didalam Kitab al-Tawhid dimana beliau menekankan permohonan doa atau meminta pertolongan hanya kepada Allah S.W.T.

Beliau beranggapan orang Islam yang mengamalkan tawassul adalah termasuk dari amalan syirik dan boleh diisytiharkan sebagai Kafir ataupun Musyrik. Fahaman seperti ini dikenali sebagai Wahhabi ataupun seperti kebanyakan pengikutnya lebih suka dikenali sebagai Salafi. Walaubagaimanapun, Ilmuwan Islam berpendapat bahawasanya ajaran Wahhabi ini adalah lebih bersifat Kenegaraan (Arab Saudi) disamping ianya lebih syadid (keras) berbanding fahaman Salafi yang bertebaran di merata tempat di seluruh dunia.

Menurut seorang Professor Teologi dari Amerika Syarikat, Natana J. DeLong-Bas yang mengkaji dan menulis buku mengenai Muhammad Ibn Abd al-Wahhab dan fahamannya, beliau berpendapat, 

         "Walaupun Ibn Abd al-Wahhab pada satu masa bersungguh-sungguh mengutuk kumpulan agama lain atas kepercayaan mereka yang dikatakan bidaah, beliau tidak pernah menghalalkan darah mereka...kerana pada anggapannya, mereka nanti tetap akan dihukum di Akhirat"

Kesimpulan:
Besarlah harapan penulis jika para penuntut ilmu sekalian lebih berwaspada menjatuhkan hukuman ke atas Ulama-Ulama terdahulu ataupun ulama zaman moden seperti Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab, Imam Ibnu Taymiyyah, Sheikh Nasirudin al-Albani, Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah(HAMKA), para Habaib, Maulana Asri Hj Yusoff, Ustaz Khalid Basmalah, Dr Kamilin Jamilin (sekadar menyebut beberapa nama) dengan label yang kurang elok dan bernada negatif. Hargailah usaha mereka menyebarkan ilmu dikalangan masyarakat dan marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang sebenar-benarnya.

والله أعلم بالصواب

~Pencinta Ahli Sunnah Wal Jamaah (9 November 2019)
-Bekenu, Sarawak


(Fakta dan nama didalam tulisan ini adalah hasil dari kajian penulis blog sendiri. Jika terdapat kesalahan atau percanggahan fakta boleh hubungi melalui pautan berikut-whatsapp)

Rujukan
1.https://en.wikipedia.org/wiki/Muhammad_ibn_Abd_al-Wahhab#cite_note-WahhabiIslam-75
2.DeLong-Bas, Natana J. (2004). Wahhabi Islam: From Revival and Reform to Global Jihad (First ed.). New York: Oxford University Press, USA. p. 61. ISBN 0-19-516991-3.
3.https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/902-irsyad-al-hadith-siri-ke-179-ulama-umatku-umpama-nabi-bani-israil



Sunday, 10 November 2019

Ilmu Hadis Asas siri 1


Mustolah

Sifat Hadis

Sifat Hadis terdiri dari dua iaitu Hadis Mutawattir dan Hadis Ahad.

Hadis Mutawattir

Maksud:Hadis yang diriwayatkan oleh majoriti sahabat bersama majoriti tabi'in yang mustahil untuk mereka berdusta. Ia terdiri daripada 3 jenis:

1.Billafzi
2.Bilmaknawi
3.Bil a'mali

Contoh:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” Riwayat al-Bukhari (107)

Saturday, 9 November 2019

Adab Berdakwah kepada Orang Bukan Islam



Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".

[Surah Ali'Imran Ayat 64]




Pengharaman Memakan Khinzir dalam agama Kristian

Antara persamaan dalam agama Kristian dengan ajaran Islam adalah pengharaman memakan daging khinzir bagi penganut agama tersebut. Namun begitu, kebanyakan penganut agama Kristian zaman sekarang tidak mengetahui perkara tersebut dan telah terbiasa dengan adat nenek moyang mereka. Terdapat juga sebahagian yang mengetahui perkara tersebut bertindak menyembunyikan pengharaman tersebut dengan niat dan motif tertentu. Mereka bukan saja menyembunyikan ajaran tersebut dari masyarakat, malahan jika ada yang mempertikaikan mereka akan melakukan perkara licik berikut:

1. Menyogok penganut tersebut menggunakan petikan ayat yang telah diubah kandungannya dari petikan asal.
2. Mengubah maksud ayat dengan menghiraukan konteks penuh ayat yang menceritakan perkara lain yang tidak berkaitan.

Setelah kajian dijalankan, didapati ayat yang digunakan untuk memanipulasikan penganut Kristian dari golongan awam adalah dari Kitab Markus Chapter 7 Verse 19.

"Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula." (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal).

Markus 7:19[AlKitab versi Borneo]

atau dalam versi Bahasa Inggeris, New International Version (1978M)

"For it doesn't go into his heart but into his stomach, and then out of his body." (In saying this, Jesus declared all foods 'clean')
Mark 7:19 [NIV]

atau dalam bible versi New King James Version yang diterbitkan pada tahun 1611M.

"because it does not enter his heart but his stomach, and is eliminated, thus purifying all food"
Mark 7:19 [NKJV](1611M)

Jika diperhatikan, di dalam versi New International Version yang diterbitkan pada tahun 1978M, terdapat nota kaki (footnote) penterjemah yang menghuraikan mengenai pemahaman perterjemah atau kumpulan penterjemah berikut mengenai sabda Jesus yang mengatakan "Dengan Demikian Dia menyatakan semua makanan halal".

Persoalannya, adakah pemahaman tersebut selari dengan konteks keseluruhan ayat yang sebenarnya menceritakan mengenai kekecewaan Jesus terhadap beberapa orang Farisi dan beberapa ahli Taurat yang menegur pengikutnya yang makan tanpa membasuh tangan. Sedangkan adat tersebut bukanlah ajaran Taurat tetapi hanya mengikut adat istiadat nenek moyang mereka.

Berikut adalah versi penuh dari alKitab versi Borneo (Terjemahan dari New International Version).

1Orang Farisi dan beberapa ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkumpul di keliling Yesus. 
2Mereka melihat beberapa murid Yesus makan dengan tangan najis, iaitu tangan yang tidak dibasuh.
3(Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan. 

4Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.
5Oleh itu, orang Farisi dan ahli Taurat di situ bertanya kepada Yesus, "Mengapakah murid-Mu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang najis?"
6Yesus menjawab, "Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat: 'Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku; sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.'
8"Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia."
9Yesus berkata lagi: "Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri! 

10Musa menyampaikan perintah ini, 'Hormatilah ibu bapamu' dan 'Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.'

11Tetapi kamu mengajar: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, 'Apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan ibu, sudah kujadikan korban' (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah), 

12maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa. 

13Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan."
14Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, "Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah. 
15 Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar 
daripada seseorang itulah yang menajiskannya.
 16 Jika kamu bertelinga, dengarlah!"
17Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. 

18Yesus berkata kepada mereka, "Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? 

19Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula." (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
20Kata-Nya lagi: "Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya 
21kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, 

22berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. 

23Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang."

[Markus 7:1-23]

Perhatikan bagaimana pada ayat 18 dimana Jesus menjelaskan mengenai makanan yang masuk ke dalam badan adalah tidak bersifat najis/kotor, malahan apa yang keluar dari badan seseorang itulah yang bersifat najis/kotor (mungkin yang dimaksudkan adalah air kencing atau tahi). Kemudian pada ayat 19 beliau menyambung dengan ayat "Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula". Apakah yang cuba disampaikan oleh Jesus sebenarnya?adakah ia berkaitan dengan daging Khinzir yang halal?

Cubalah bertanya pendeta anda di gereja masing-masing tentang ayat yang menghalalkan daging khinzir kepada penganut Kristian dan pastinya beliau akan memberikan referensi dari ayat ini. Persoalannya adakah ia perkara yang benar?

Bagaimana dengan pengharaman secara jelas beberapa jenis daging yang disebutkan dalam kitab Taurat (Old Testament) yang mana ia secara jelas menyebut tentang pengharaman daging khinzir tersebut. Didalam Kitab Imamat Chapter 11 Verse 1-8 (Leviticus 11:1-8)

          "Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, "Beritahu kepada orang Israel begini, 'Inilah haiwan-haiwan hidup yang boleh kamu makan daripada antara segala jenis yang ada di atas bumi: Kamu boleh makan semua haiwan yang terbelah kuku kakinya serta yang mengunyah bahan mamahan. Akan tetapi kamu tidak boleh makan antara haiwan yang hanya mengunyah bahan mamahan atau yang hanya terbelah kuku kakinya. Jenis-jenis haiwan yang berikut tidak boleh kamu makan: Unta, haiwan yang mengunyah bahan mamahan tetapi tidak terbelah kuku kakinya adalah haram bagimu. Landak, haiwan yang mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. Arnab, haiwan yang juga mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. Babi, yang kuku kakinya terbelah walaupun babi tidak mengunyah bahan mamahan adalah haram bagimu. Maka janganlah kamu makan daging haiwan-haiwan itu dan jangan kamu sentuh bangkainya, kerana semua itu haram bagimu".

Sekali lagi mereka akan memberikan hujah yang lain mengenai pengharaman tersebut yang sudah tidak terpakai kerana beberapa sebab tertentu. Antaranya ialah:

1.Undang-undang (syariat) dari Kitab Old Testament adalah untuk penganut Yahudi sahaja.
2.Hanya beberapa perkara berkaitan dengan moral yang diharamkan saja yang perlu dipatuhi seperti pengharaman Homoseksual.

Persoalannya, adakah perkara tersebut dapat diterima akal? Sedangkan Jesus dalam  Kitab Matius (Matthew) Chapter 5 Verse 17-19 telah bersabda dengan tegas bahawasanya 

            "Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga"

[Matius 5:17-19]

Cuba anda sebagai penganut Kristian yang setia berfikir sejenak, antara perkataan/pemahaman pendeta-pendeta anda tersebut dengan kata-kata dari Jesus, yang manakah lebih mulia dan bersifat penyayang terhadap kesejahteraan penganutnya.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan peringatan ini hanyalah seperti larangan seorang ayah yang melarang anaknya dengan penuh kasih sayang (penekanan konsep Kasih Sayang-Love) dan seorang anak sepatutnya menerimanya dengan baik namun tidak sampai ke peringkat pengharaman. Ini semua adalah salah satu dari helah tersebut yang bersifat mementingkan diri dan keji.




Kesimpulan

Pengharaman beberapa jenis makanan dalam agama Krisitian adalah sebagai satu tanda kasih sayang dan rahmat dari Tuhan kepada penganutnya dimana mereka dilarang untuk makan beberapa jenis makanan yang dari segi perubatannya sangat buruk dan boleh membawa mudarat kepada kesihatan. 
Antara makanan lain yang diharamkan bagi penganut Kristian selain khinzir adalah bangkai, darah, dan arak. 

Mengenai pengharaman Bangkai, didalam kitab Ulangan Chapter 14 Verse 21 Tuhan berkata mengenainya :

    "Jangan engkau makan bangkai apa-apa pun, kerana engkau umat yang suci bagi Tuhan, Allahmu. Namun demikian, engkau boleh memberikannya kepada pendatang yang ada di kotamu untuk dimakan olehnya, atau menjualnya kepada bangsa asing"

Manakala didalam Kitab Imamat Chapter 10 Verse 8-10 Tuhan berkata mengenai Pengharaman arak:

    "Tuhan berfirman kepada Harun," Baik kamu mahupun anak-anakmu tidak boleh minum apa-apa air anggur atau apa-apa minuman yang memabukkan ketika kamu masuk ke dalam Khemah Pertemuan, supaya jangan kamu mati. Ini suatu peraturan tetap yang berkuat kuasa seterusnya bagi kamu turun-temurun, supaya kamu dapat membezakan antara yang suci dengan yang biasa, antara yang najis dengan yang suci yakni tidak najis".

Walaubagaimanapun, masih terdapat sesetengah dari Sect Kristian seperti Seventh-Day Adventist Church yang masih berpegang teguh dengan ayat tersebut dan menjauhi diri mereka dari perkara yang haram tersebut.

والله أعلم بالصواب

Rujukan

1. www.alkitabversiborneo.org/
2. https://www.biblica.com/resources/bible-faqs/why-does-the-niv-bible-omit-or-have-missing-verses/
3. https://en.wikipedia.org/wiki/Christian_dietary_laws